Kena marah dengan bos ke, Azmin soal Zahid


MENTERI Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali membidas tindakan Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi yang membuat pusingan “U” terhadap kenyataannya mengenai Malaysia telah meminta bantuan daripada Interpol untuk mengesan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Di Parlimen semalam, Zahid berkata polis Malaysia telah meminta bantuan Interpol untuk mengesan Low, yang telah dikenalpasti sebagai watak utama dalam skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Beliau menjawab soalan Azmin, yang juga ahli Parlimen Gombak.

Bagaimanapun, Zahid kemudian berkata ucapannya telah “dimanipulasi”, dan menjelaskan yang permintaan bantuan Interpol tidak lagi aktif kerana fail kes melibatkan Low sudah ditutup.

Menulis di Twitter, Azmin berkata cubaan Zahid memutarbelitkan fakta tidak berhasil.

Dalam tweet seterusnya, Azmin juga bertanya sama ada Zahid “dimarahi” oleh “bosnya”.

Penyiasat AS mendakwa bahawa Low adalah dalang penyelewengan wang daripada firma belaburan negara 1MDB.

Lokasinya sekarang tidak diketahui.

Azmin sebelum ini telah memohon di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memaksa polis dan ketua polis negara menangkap Jho Low.

Bagaimanapun, ia ditolak oleh mahkamah awal bulan ini selepas membenarkan bantahan awal oleh Jabatan Peguam Negara yang mewakili polis. – 24 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen