MAJLIS Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengundi hari ini mengenai sama untuk melanjutkan siasatan antarabangsa terhadap serangan senjata kimia di Syria.
Amerika Syarikat (AS) meminta pengundian mengenai resolusi draf yang dibentangkan minggu lepas yang membolehkan panel Larangan Senjata Kimia (OPCW) diteruskan untuk tempoh setahun lagi bagi mengenal pasti dalang serangan gas toksik dalam perang yang berlangsung selama enam tahun di Syria itu.
Langkah itu mungkin berdepan halangan daripada Rusia, sekutu Syria, yang mahu melihat laporan terlebih dahulu pada Kamis berhubungan serangan gas sarin di Khan Sheikhun sebelum membuat keputusan.
Duta AS, Nikki Haley menggesa majlis itu bertindak segera untuk menyokong penerusan usaha panel, yang dikenali sebagai Mekanisme Penyiasatan Bersama (JIM) yang mandatnya berakhir pada 18 November.
Britain, Perancis dan AS menuduh tentera Presiden Bashar al-Assad menggunakan gas sarin di kampung yang dikuasai pembangkang, membunuh sekurang-kurangnya 87 orang, termasuk lebih 30 kanak-kanak.
Bulan lalu, penyiasat jenayah perang PBB mengatakan mereka mempunyai bukti yang pasukan udara Syria bertanggungjawab terhadap serangan Khan Sheikhun, walaupun Damsyik menafikannya berulang kali.
“Ini bukan mengenai politik atau kandungan laporan akan datang, tetapi untuk memastikan akauntabiliti mereka yang menggunakan senjata dahsyat ini, sama ada mereka adalah negara anggota PBB atau bukan,” tulis Haley dalam surat kepada rakan-rakan duta minggu lalu.
Rusia boleh memutuskan menggunakan kuasa vetonya dalam majlis untuk menyekat resolusi draf dan dengan secara efektor menutup penyiasatan serangan gas maut di Syria.
Ketua jabatan non-proliferasi Rusia, Mikhail Ulyanov mengatakan kepada diplomat PBB awal bulan ini yang Rusia ingin mengkaji laporan tentang serangan Khan Sheikhun oleh JIM sebelum memutuskan ia memerlukan lanjutan.
Ulyanov berkata serangan sarin kemungkinan besar berpunca daripada bom di darat dan bukannya serangan udara Syria.
Haley berhujah yang OPCW sedang mengkaji semula lebih daripada 60 kes penggunaan senjata kimia yang didakwa digunakan di Syria, termasuk serangan sarin baru-baru ini yang ditemui di sebuah kampung dikuasai pihak pembangkang pada 30 Mac. – AFP, 24 Oktober, 2017.
Komen