Filem Dr Mahathir dapat kerjasama pejabat perdana menteri, kata pengarah


Nabihah Hamid

Filem yang diberi judul Mahathir: The Journey hanya memaparkan kisah perjalanan politik Dr Mahathir selepas beliau bersara daripada jawatan perdana menteri pada 2003. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2019.

PENGARAH filem biografi Dr Mahathir Mohamad mempertahankan pendirian bahawa pihak produksi mendapat kerjasama daripada pejabat perdana menteri walaupun timbul dakwaan keluarga tidak memberi restu.

Dr Hatta Azad Khan berkata pihak pengurusan produksi juga sedang mengatur sebuah majlis untuk mempertemukan semua pelakon watak penting dengan tokoh sebenar yang diangkat ke filem itu, termasuk Marina Mahathir.

“Saya difahamkan produksi akan buat majlis bukan sahaja mahu jemput Marina tetapi semua yang terlibat dalam cerita. 

“Pelakon mainkan watak orang masih hidup semestinya perlukan panduan. Saya sebagai pengarah bersetuju begitu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Hatta menjelaskan pihak produksi juga sebelum ini sudah berhubung dengan Dr Siti Hasmah Ismail mengenai pembikinan filem itu.

“Saya tiada masalah sebenarnya (dengan komen Marina) kerana pada saya bahagian produksi pernah hubungi Tun Hasmah dan saya hanyalah pengarah,” katanya.

Hatta diminta mengulas kenyataan Marina baru-baru ini yang membayangkan pihak keluarga tidak memberi restu kepada pembikinan filem cereka mengenai Dr Mahathir.

Dalam beberapa tweet, anak sulung Dr Mahathir berkata keluarga merasakan kisah mereka tidak perlu dibuat filem atau apa karya seni persembahan lain pun.

“Keluarga saya lebih suka tiada siapa pun membuat filem, filem biografi, muzikal, kartun, atau apa pun tentang kami. Sebabnya, segan.

“Tetapi kalau perlu buat juga, jangan paksa kami menontonnya,” tulis Marina di Twitter minggu lalu.

Jelas Hatta, filem yang diberi judul Mahathir: The Journey hanya memaparkan kisah perjalanan politik Dr Mahathir selepas beliau bersara daripada jawatan perdana menteri pada 2003.

Marina baru-baru ini yang membayangkan pihak keluarga tidak memberi restu kepada pembikinan filem cereka mengenai Dr Mahathir. – Gambar Facebook, 17 November, 2019.

Ia mengetengahkan watak-watak mereka yang memainkan peranan besar bersama Dr Mahathir merintis jalan kepada perubahan politik pada Pilihan Raya Umum ke-14, katanya.

Beliau menyebut nama-nama seperti Presiden PKR Anwar Ibrahim dan keluarganya, malah Marina sendiri.

Tambah Hatta, kerjasama daripada semua tokoh itu penting untuk menjayakan filem tersebut.

“Jika saya mahu berlakon sebagai Anwar Ibrahim misalnya, saya perlu tunjuk ajar daripada Anwar. Nak perhatikan gaya Anwar. Semua watak penting yang membantu Tun dalam kemenangan Pakatan Harapan,” katanya.

Hatta mendedahkan filem Mahathir: The Journey bermula dengan episod Dr Mahathir menyerahkan pentadbiran negara kepada Abdullah Ahmad Badawi, membawa kepada penglibatannya semula dalam politik sampailah kepada pilihan raya umum yang lalu.

“Ada adegan Tun berjumpa Anwar di mahkamah. Ada juga babak Anwar dirawat di hospital (semasa dalam penjara) dan berjumpa isteri dan anak-anak. Mereka semua bercerita tentang Pakatan Harapan,” katanya.

“Pada saya, tiada isu sensitif sebab kita tak kutuk dan keji sesiapa dalam cerita. Cuma fokus pada Tun (Dr Mahathir) dan orang sekeliling Tun. 

“Soal korupsi (Najib Razak) kita tak sentuh,” jelasnya.

Mahathir: The Journey akan memulakan penggambaran pada 15 Disember ini.

Selain filem ini, sebuah lagi filem juga dalam perancangan, bertajuk Hasmah: Bila Deh Bertemu Det, yang mengisahkan percintaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah.

Filem ini dipercayai mendapat perkenan Finas kerana pra pelancarannya dilakukan oleh Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Eddin Syazlee Shith serta dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Finas Ahmad Idham Ahmad Nadzri. – 18 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen