PRK Tanjung Piai bukti rakyat celik politik


JUJURNYA kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Dr Wee Jeck Seng dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai adalah keputusan yang sudah dijangka.

Walaupun majoriti besar iaitu 15,086 seperti agak mengejutkan namun jika kita meneliti dan membuat analisis yang lebih menyeluruh terhadap trend sokongan rakyat pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), ia boleh dikatakan agak normal dan konsisten.

Keputusan PRU14 yang menyaksikan tumbangnya BN setelah lebih 60 tahun memerintah membuktikan kadar celik dan literasi politik dalam kalangan rakyat semakin meningkat. 

Bagi penulis ini adalah satu perkembangan yang cukup sihat dan positif.

Malah ini adalah trend yang sangat ditunggu-tunggu serta amat dialu-alukan kerana para pengundi sudah mula menyedari kuasa sebenar undi yang mereka miliki. 

Ini juga menunjukkan rasa tanggungjawab rakyat terhadap negara semakin melonjak naik. Ringkasnya amalan demokrasi semakin subur.

Hakikatnya kemenangan calon BN tidak mengubah sebarang kedudukan baik kerajaan negeri mahupun pusat. 

Pakatan Harapan (PH) masih menguasai kerajaan pusat dan juga negeri.

Walaupun sokongan terhadap BN dikatakan meningkat terutamanya selepas termeterainya Muafakat Nasional dengan PAS serta ada juga yang mengeluarkan kenyataan kemenangan ini menunjukkan sokongan orang Cina sudah kembali kepada BN, namun itu kata-kata orang politik yang sememangnya sangat indah untuk didengar dan selalu menjadi halwa telinga terutamanya bila mencatat kemenangan. 

Kalau kalah lain pula naratif kisahnya.

Jadi penulis tidak berhasrat mengupas kemenangan calon BN ini dari perspektif orang politik sebaliknya sebagai rakyat marhaen, saya lebih berminat berbicara tentang mesej penting rakyat kepada orang politik.

Sudah sembilan PRK diadakan sejak PRU14, ada yang PH menang dan ada yang BN menang tetapi  persoalan yang lebih penting ialah mesej apa yang pengundi cuba sampaikan.

Para pengundi cukup sedar dan jelas bahawa PRK tidak seperti PRU. 

Mereka sedar siapapun menang PRK, kerajaan pusat dan negeri tidak terjejas. Jadi pengundi dilihat mula menggunakan PRK untuk menghantar signal dan mesej yang jelas kepada baik kerajaan mahupun pembangkang rasa tidak puas hati mereka selepas PRU14.

Pengundi berjaya membuktikan mereka tidak lagi begitu mudah dipengaruhi dengan pelbagai sogokan dan janji manis. 

Pengundi juga sudah tidak mahu menyokong membuta tuli. Ringkasnya pengundi tidak mahu mengikut saja umpama lembu dicucuk hidung.

Perubahan landskap politik yang berlaku pada PRU14 terus menaikkan semangat rakyat untuk bangkit mempertahankan hak dan menuntut perubahan serta reformasi demi kemajuan negara dan kelangsungan hidup rakyat.

Secara prinsipnya rakyat tidak mahu orang politik terlalu politiking sepanjang masa sehingga lupa dan abaikan tanggungjawab terhadap rakyat dan negara. 

Masalah rakyat semakin bertambah, kos hidup terus mencengkam rakyat dan perkembangan ekonomi masih perlahan serta membimbangkan. 

Budaya politik yang melampau sehingga abaikan semua masalah ini menyebabkan rakyat semakin bosan, marah dan geram.

Jadi PRK dijadikan medan untuk melepaskan geram tersebut agar orang politik sedar diri dan fokus kepada masalah rakyat.

Baik kerajaan mahupun pembangkang, usahlah mendabik dada mengatakan rakyat berpihak kepada anda. 

Sebenarnya rakyat sedang menggunakan hak dan kuasa mereka untuk mengajar orang politik tentang tanggungjawab hakiki mereka terhadap rakyat.

Ingat, baik kemenangan di PRU mahupun di PRK semuanya hanyalah bersifat sementara dan diperolehi atas ihsan para pengundi yang mahu memberi ruang dan peluang kepada semua parti politik membuktikan kemampuan masing-masing.

Kekalahan BN dalam PRU14 sepatutnya membuka mata semua parti politik bahawa rakyat sudah bangkit menyuarakan rasa ketidakpuasan hati mereka secara terbuka. 

Rakyat tidak lagi takut untuk mengambil risiko besar seperti ini. Maka jika sekali rakyat boleh mengubah kerajaan, tidak mustahil rakyat melakukan perkara yang sama dalam PRU yang akan datang.

Jadi kedudukan mana-mana partipun tidak terjamin dan tidak pasti dapat memerintah lama. Jika rakyat tidak puas hati mereka akan menukar parti lain pula. Inilah natijahnya apabila rakyat semakin celik politik.

Secara prinsipnya apa yang berlaku dalam PRU14 bukanlah suatu kesilapan. Apa yang berlaku dalam PRK Tanjung Piai juga bukan suatu kesilapan. Sebaliknya ia menzahirkan budaya dan kefahaman politik yang matang dalam kalangan rakyat. 

Jadi kita berharap pihak kerajaan dan pembangkang bermuhasabah dan menyedari kesilapan masing-masing.

PH perlu melihat kenapa sokongan rakyat seolah-olah semakin merudum secara mendadak selepas PRU14. Di mana silapnya naratif pelaksanaan Malaysia Baharu yang diwar-warkan.

Apakah ia berpunca dari kegagalan menunaikan beberapa janji manifesto seperti pemansuhan tol, PTPTN serta penurunan harga minyak yang dilihat sangat dekat dengan kehidupan rakyat atau rakyat semakin bosan dengan drama politik dalam gabungan PH itu sendiri termasuk isu peralihan jawatan Perdana Menteri serta isu perpecahan dalam PKR yang membabitkan kem Anwar Ibrahim dan Azmin Ali yang semakin ketara.

Umpama bangkai gajah yang sukar disorok, ini adalah antara isu membabitkan PH yang terus menarik perhatian rakyat kerana PH adalah parti pemerintah. 

Sudah semestinya rakyat meletakkan harapan yang tinggi kepada PH yang diberi mandat buat pertama kali dalam PRU14.

Bagi BN pula walaupun beberapa PRK memihak kepada mereka terutamanya selepas mewujudkan kerjasama politik dengan PAS itu bukan jaminan mereka akan menang PRU15 kelak.

Ingat, PRU dan PRK tidak sama. Rakyat semakin celik dan tahu hendak mengundi siapa dalam PRU dan PRK. 

Jadi jangan cepat berpuas hati, bercakap besar dan meraikan kejayaan. Bermuhasabah dan menilai semula apakah hala tuju kerjasama BN-PAS ini.

Rakyat juga sedang memantau dan menilai kejujuran dan keikhlasan dalam kerjasama kedua-dua parti terbesar orang Melayu ini. 

Malah orang bukan Melayu juga sedang mengikuti rapat perkembangan kerjasama ini terutamanya sejauh mana ia relevan dan boleh diterima pakai dalam konteks masyarakat majmuk seperti di negara kita.

Sesungguhnya naratif politik negara semakin hari semakin menarik. Tatkala semua parti politik bergelut meraih sokongan dan keyakinan rakyat, peningkatan kefahaman dan literasi politik rakyat pula semakin menyukarkan dan memberikan cabaran yang besar kepada parti politik.

Semoga perkembangan positif ini mewujudkan situasi menang-menang antara rakyat dengan parti politik. – 17 November, 2019

*Noor Mohamad Shakil Hameed adalah Timbalan Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia.*

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen