2 lelaki Filipina ditahan curi kulit kayu bakau


PIHAK berkuasa menahan dua lelaki Filipina kerana menceroboh dan mencuri kulit kayu bakau di hutan simpan Pulau Jambongan, Paitan dekat Beluran petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran  ACP Mohd Nasaruddin M Nasir berkata mereka ditahan dalam Operasi Khazanah yang dijalankan oleh Tiger Platun Batalion 20 PGA dibantu oleh Jabatan Perhutanan pada pukul 5 petang semalam.

“Ketika ditahan kedua-dua lelaki yang berumur 36 dan 37 tahun itu sedang leka memotong kulit kayu bakau jenis tangar dengan menggunakan kapak.

“Pemeriksaan di kawasan sekitar mendapati terdapat empat longgokan kulit kayu bakau, yang mana setiap longgokan kayu dianggarkan seberat satu tan dengan nilai dianggarkan kira-kira  RM52,000,” katanya dalam kenyataan di Beluran hari ini.

Mohd Nasaruddin berkata kedua-dua suspek ditahan manakala kayu dan kapak serta tukul dan tiga sampan kecil dirampas dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran untuk tindakan lanjut. – Bernama, 17 November, 2019.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen