PAKATAN Harapan (PH) tidak boleh bermain isu perkauman dan masih mengharapkan sokongan semua rakyat Malaysia, kata penganalisis.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa sudah jelas bahawa PH kehilangan sokongan Melayu dan bukan Melayu apabila kerajaan tidak bertindak sewajarnya dan berharap untuk menang.
“PH tidak boleh bermain isu kaum dan agama dengan Umno-PAS bagi mendapatkan undi Melayu sambil mengharapkan sokongan tinggi daripada bukan Melayu,” kata penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia Dr Azmil Tayeb.
PH mengalami kekalahan terburuk dalam sejarah apabila kehilangan kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan majoriti 15,086 undi kepada calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, PH menang tipis dengan 524 undi.
Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai yang berlangsung semalam, Wee menang dengan 25,466 undi manakalan calon PH Karmaine Sardini meraih 10,380 undi.
Pada Mac, PH turut kalah kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih 1,914 undi selepas menang kerusi itu dengan majoriti 8,964 undi pada PRU14.

Kekalahan PH lebih teruk di Tanjung Piai apabila kalah di semua 27 pusat pengundian berbanding 11 kemenangan yang diperolehi pada PRU14. PH kalah di hampur semua saluran undi.
Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Dr Lau Zhe Wei berkata keputusan di Tanjung Piai sudah dijangka kerana Wee merupakan calon yang lebih baik.
“Secara umumnya, apabila rakyat Malaysia mengundi, mereka akan memilih parti. Tetapi senario berbeza boleh berlaku apabila personaliti calon dapat mengubah keputusan.
“Wee mempunyai rekod yang baik di Tanjung Piai,” kata pensyarah sains politik itu.
Azmil berkata keputusan semalam memberi petunjuk bahaya kepada PH.
“Bagi pengundi bukan Melayu di Tanjung Piai yang tidak gembira dengan PH, pilihan yang mereka ada sama ada tidak mengundi atau memilih calon BN.
“Jika calon BN merupakan Melayu, ramai pengundi bukan Melayu akan memilih untuk tidak mengundi.
“Dengan adanya calon bukan Melayu, ia membuatkan BN menjadi pilihan kepada pengundi bukan Melayu berdasarkan peratusan undi keluar.” – 17 November, 2019.
Komen