Najib jatuhkan maruah sendiri lupa sejarah, kata Majlis Setiausaha Pakatan


Majlis Setiausaha PH mengingatkan Najib Razak bahawa Malaysia pernah ada seorang menteri kewangan berketurunan Cina. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 November, 2019.

NAJIB Razak sudah menjatuhkan maruahnya sendiri apabila sengaja memutar belit sejarah dengan mempertikaikan kedudukan Lim Guan Eng sebagai menteri kewangan hanya kerana setiausaha agung DAP itu seorang berketurunan Cina, kata Pakatan Harapan (PH).

Majlis Setiausaha PH mengingatkan Najib bahawa Malaysia pernah ada seorang menteri kewangan berketurunan Cina, dan menteri itu dilantik oleh ayah Najib sendiri Abdul Razak Hussein semasa jadi perdana menteri kedua.

“Apakah ketika itu maruah Melayu tidak dijaga oleh pentadbiran Tun Razak serta Almarhum Tunku Abdul Rahman hanya kerana mereka melantik menteri kewangan yang berketurunan Cina?” tanya majlis itu dalam satu kenyataan.

Mereka merujuk kepada langkah Razak meneruskan khidmat presiden MCA Tan Siew Sin sebagai menteri kewangan apabila beliau menggantikan Tunku Abdul Rahman pada 1970.

Tan adalah menteri kewangan dalam kabinet perdana menteri pertama Tunku Abdul Rahman sebelum itu sejak 1959.

Kenyataan PH itu dikeluarkan bersama oleh Ketua Setiausaha PH Saifuddin Abdullah, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya, Timbalan Setiausaha Agung Amanah Abang Ahmad Kerdee dan Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook.

“Wibawa seorang menteri kewangan terletak pada integriti, sifat amanah, cekap, dan bersederhana mengurus kewangan negara. Bukannya dengan mempersoalkan keturunan bangsa. 

“Kewibawaan menteri kewangan lebih terserlah sekiranya tidak memasukkan duit negara ke dalam akaun peribadi dan berbelanja mewah untuk mempertahankan kuasa,” kata mereka merujuk pada tuduhan terhadap Najib semasa beliau jadi menteri kewangan dahulu.

Najib jadi menteri kewangan antara 2008 dan 2018, pada sepanjang masa beliau juga ketika itu perdana menteri.

Malam semalam, dalam ceramah di Tanjung Piai, Najib cuba meraih undi dalam kalangan pengundi Melayu dengan menyerang Lim.

“Di mana letaknya maruah Melayu kalau Menteri Kewangannya DAP (Lim Guan Eng). Boleh dia jaga maruah Melayu atau tidak? Agenda Melayu dia tak tahu apa,” katanya, seperti dipetik kenyataan Majlis Setiausaha PH daripada rakaman ucapan ceramah itu.

Najib kini berdepan tiga siri perbicaraan jenayah termasuk salah guna kuasa dan rasuah semasa beliau jadi perdana menteri dan menteri kewangan.

Kata Majlis Setiausaha PH, walaupun kes itu menyebabkan Najib “gundah gulana”, ia bukan alasan untuk beliau memutar belit sejarah dan bermain api perkauman.

Mereka menggesa beliau mengkritik PH atas isu ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pentadbiran kerajaan – dan bukan dengan cuba jadi wira perkauman. – 15 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen