Kumpulan wakili pemandu e-panggilan saman Grab, Kementerian Pengangkutan


Campaign to Protect the Rights of E-hailing Drivers in Malaysia sedang mengumpul dana bagi prosiding undang-undang terhadap Kementerian Pengangkutan dan Grab, dan menggesa orang ramai menderma RM10 setiap seorang. – Gambar AFP, 15 November, 2019.

SATU kumpulan yang mendakwa mewakili pemandu e-panggilan diketuai oleh ahli MCA merancang menyaman Grab dan Kementerian Pengangkutan kerana didakwa gagal melindungi hak pemandu daripada diskriminasi dan pemecatan tidak adil.

Campaign to Protect the Rights of E-hailing Drivers in Malaysia berkata ia mengeluarkan surat kepada kementerian dan syarikat e-panggilan dengan beberapa tuntutan, lapor The Star.

Jurucakap kumpulan, Ng Kian Nam berkata kerajaan masih belum mengiktiraf hak pemandu e-panggilan di bawah Akta Pekerjaan dari segi diskriminasi dan pemecatan tidak adil dalam pekerjaan.

Mereka yang berdepan diskriminasi adalah golongan kurang upaya dan warga emas.

Surat tuntutan itu juga meminta tribunal perkhidmatan e-panggilan khas bagi menangani masalah para pemandu, menegaskan keperluan pihak bebas sebagai orang tengah antara pemandu dan pemandu semasa pertikaian.

Ini kerana “Grab menerima kata-kata penumpang lebih serius berbanding pemandu,” kata Ng.

Keadaan itu menyebabkan pemandu e-panggilan berasa tidak pasti mengenai jaminan pekerjaan mereka, kata Ng yang juga ketua Biro Pergerakan Masyarakat Awam MCA.

Surat itu juga membangkitkan kes bekas pemandu e-panggilan bernama Yip Lai Ching yang mendakwa dipecat sebagai pemandu Grab secara tidak adil, berhubung dakwaan pergaduhan dengan penumpang.

Ketika Grab memecatnya kerana bergaduh dengan penumpang, Yip mendakwa beliau diganggu oleh penumpang lelaki.

Ng berkata kumpulan itu juga mengumpul dana bagi prosiding undang-undang terhadap kementerian dan Grab, dan menggesa orang ramai menderma RM10 setiap seorang. – 15 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen