BN dan Pakatan bersaing rayu pengundi pulang


Khoo Gek San SM Amin

Penyokong Barisan Nasional pada ceramah diadakan di Kampung Lubuk Sawah, Pekan Nanas, Johor semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 15 November, 2019.

BERBAKI satu hari menjelang hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai, Barisan Nasional dan Pakatan Harapan kini dilihat saling bersaing untuk mendapatkan undi pengundi yang tinggal di luar Tanjung Piai.

Bahkan kelihatan poster yang dipercayai dinaikkan oleh PH, menyediakan bas percuma dari Johor Bharu ke Pekan Nanas, Pontian hari ini dan esok.

Bas-bas itu akan membawa pulang pengundi dari JB Sentral, kata poster “Jom Balik Undi”.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata terdapat antara 7,000 dan 8,000 (13%) pengundi luar negeri di Tanjung Piai yang bekerja di Johor Bharu, Singapura dan Lembah Klang.

Jabatan Imigresen juga akan menyediakan lorong khas untuk pengundi yang pulang ke Tanjung Piai dari Singapura pada hari Jumaat dan Sabtu.

Lorong khas akan beroperasi dari 12 tengah hari hingga tengah malam hari ini dan tengah malam hingga 4 petang pada hari mengundi esok.

Lorong yang dikhaskan untuk pengundi yang pulang ditempatkan di Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar.

Pengundi Pontian Ramli Waidi memberitahu The Malaysian Insight bahawa anaknya akan pulang dari Batu Pahat untuk mengundi Wee Jeck Seng pada hari Sabtu.

“Kami tidak pernah melihat ahli Parlimen sebelum ini dan Wee okey,” kata Ramli yang berusia 59 tahun itu.

Pelbagai usaha dibuat BN dan PH untuk memastikan pengundi luar pulang membuang undi Sabtu ini di Tanjung Piai.  – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2019.

Seorang lagi penduduk Pontian, Rap’eah Som berkata, empat anaknya, yang bekerja di Johor Bharu, juga akan turut pulang bagi mengundi BN.

“Saya mahukan ahli parlimen yang bekerja untuk rakyat.”

Pengundi Kukup Syed Niah Noor Hong berkata dua daripada enam anaknya yang bekerja di luar Tanjung Piai juga akan kembali mengundi.

“Apabila anak saya sakit, ahli Parlimen Md Farid Md Rafik sebelum ini pernah datang dan melawat kami. Saya mahukan bendera yang dapat membantu kita kerana kita nelayan miskin.”

Ang Seng Bee, yang mempunyai dua anak yang bekerja di Singapura, juga menjangka anaknya akan kembali pada hari Sabtu.

“Mereka kembali setiap minggu dan mereka pasti akan mengundi juga. PH baik tetapi saya mahu pilih seseorang yang boleh bantu kami secara tempatan,” kata Ang.

Namun, Tan Cheng Yong berkata hanya anak lelakinya yang akan pulang untuk mengundi.

“Dua anak perempuan saya tidak boleh pulang pada masa ini. Saya pernah menyokong PH tapi mungkin saya akan mengundi Wee kerana dia telah banyak membantu kami,” kata penduduk Kukup itu.

Pakatan Harapan berharap PRK Tanjung Piai akan memberikan kemenangan kepada mereka selepas tewas tiga PRK sebelum ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 November, 2019.

Seorang pekerja kempen BN berkata terdapat kira-kira 5,000 pengundi di luar negeri.

“Kami mendapati terdapat kira-kira 200 pengundi di luar negeri dalam 27 stesen mengundi. Darabkan jumlah itu, akan ada kira-kira 5,000 pengundi di luar negeri,” kata penyokong BN itu.

PRK Tanjung Piai diadakan berikutan kematian penyandangnya, Dr Md Farid Md Rafik pada 21 September.

Tanjung Piai mempunyai 52,986 pengundi, terdiri daripada 57.6% orang Melayu, 41.4% Cina dan 1% kaum India.

Pertandingan merebut kerusi Parlimen itu akan menyaksikan pertandingan enam penjuru antara PH, BN, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas. – 15 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen