KETUA tentera Indonesia bebas untuk pergi ke Amerika Syarikat, kata kedutaan AS hari ini selepas jeneral itu dihalang memasuki pesawat ke negara itu.
Jakarta meminta penjelasan selepas Jeneral Gatot Nurmantyo- yang dipercayai mempunyai cita-cita menjadi presiden- dihalang memasuki pesawat di Jakarta oleh agensi Perlindungan Sempadan dan Kastam AS.
Nurmantyo dijemput ke Washington oleh pengerusi Ketua Kakitangan Bersama AS, Jeneral Joseph F. Dunford, pegawai tentera tertinggi Amerika dan dijangka hadir ke sebuah persidangan.
Erin Elizabeth McKee, pemangku timbalan duta ke Jakarta memberitahu wartawan yang “tidak wujud masalah” untuk jeneral itu melawat AS.
“Jeneral Gatot boleh pergi, tiada halangan, Amerika Syarikat mengalukan penglibatannya dalam persidangan tersebut atas jemputan Jeneral Dunford,” katanya.
Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi mengatakan duta AS sudah meminta maaf tetapi tidak memberikan penjelasan.
“Kami sudah memberitahu mereka yang kami masih mahukan penjelasan mengapa perkara itu berlaku, kami beritahu mereka kami tunggu,” katanya.
Nurmantyo tidak akan menghadiri persidangan itu sehinggalah penjelasan kejadian diberikan, kata ketenteraan. “ Jika ada kesilapan, perlu ada permohonan maaf bukan kepada komander tentera tetapi kepada kerajaan,” kata seorang jurucakap tentera.
Sejak dilantik menerajui tentera republik itu oleh Presiden Joko Widodo pada Julai 2015, Nurmantyo beberapa kali terlibat dalam kontorversi.
Awal tahun ini dia tiba-tiba mengantung semua kerjasama ketenteraan dengan Australia kerana pertikaian mengenai bahan pengajaran, dan dia telah dikecam oleh ahli Kabinet Presiden Joko Widodo kerana mengeluarkan kenyataan terbuka yang tidak tepat.
Tempoh jawatannya dalam tentera akan tamat pada 2018 dan ramai penganalisis percaya yang Nurmantyo mempunyai cita-cita politik. – AFP, 23 Oktober, 2017.
Komen