SARAWAK dan Sabah sepatutnya memiliki daftar mahkamah tinggi sendiri bagi mencerminkan kedudukan kedua-dua negeri itu dalam persekutuan, kata Setiausaha Agung Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Milton Foo hari ini.
Foo berkata Sarawak telah memiliki majlis guamannya, peguam negeri dan pesuruhjaya polis sendiri.
Untuk menubuhkan Mahkamah Tinggi Sarawak yang berasingan, Foo berkata penggubal undang-undang Sarawak perlu mengusulkan pindaan Perkara 121 (1) (b) Perlembagaan Persekutuan dan Akta Mahkamah Kehakiman 1964 di Parlimen.
Beliau berkata mahkamah tinggi yang berasingan di Sarawak bukan sahaja “mencerminkan semangat sebenar” Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bahkan ia juga selari dengan usaha Sarawak untuk memiliki autonomi yang lebih besar.
“Saya harap 18 Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan tegas dalam isu ini untuk membentangkan usul di Parlimen bagi meminda undang-undang.
“Adalah tidak masuk akal ketika kita mempunyai tiga bar berasingan, kita hanya mempunyai dua daftar mahkamah tinggi.”
Foo berkata tiga daftar mahkamah tinggi juga harus mempunyai status kedudukan yang sama.
Beliau mencadangkan supaya semua hasil yang dikutip dengan cara denda dan yuran pengaduan mahkamah mesti disalurkan ke bahagian penyeliaan dan penyelenggaraan bangunan dan premis mahkamah tinggi.
“Kami tidak mahu melihat mahkamah di Sarawak daif seperti sekolah-sekolah di Sarawak.” – 14 November, 2019.
Komen