Sekretariat nukleus narkotik di sempadan akan distruktur semula


Polis sedang memperkemaskan jaringan kerjasama khususnya menerusi maklumat risikan dengan pihak berkuasa luar. – Gambar EPA, 14 November, 2019.

SEKSRETARIAT Nukleus Narkotik (SNN) di sempadan negara akan distruktur semula bagi memastikan usaha membanteras kegiatan pengedaran dadah dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.  

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Mohd Khalil Kader Mohd berkata antara fokus utama yang perlu dilakukan SNN adalah memperkemaskan jaringan kerjasama khususnya menerusi maklumat risikan dengan pihak berkuasa luar.

“SNN memang dianggotai oleh anggota narkotik dan mereka ini berada di sempadan negara seperti di Perlis, Kedah dan Perak.

“Saya sendiri sedang merangka satu formula baharu untuk SNN bagi membolehkan pasukan itu menangani aktiviti pengedaran dadah di sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Peringkat Semenanjung Malaysia di Maktab PDRM Kuala Lumpur, hari ini.

Ditanya mengenai hasil daripada lawatan ke Colombia baru-baru ini, Khalil berkata pihaknya mewujudkan satu kumpulan kerja dengan pihak berkuasa negara itu.

“Banyak yang dipelajari di Colombia antaranya dadah ini diletakkan dalam perabot, karpet dan macam-macam lagi dan terbaharu yang dikesan adalah menerusi arang batu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berharap kerajaan dapat membantu JSJN dengan menyalurkan bantuan teknologi yang lebih canggih.

“Sindiket dadah juga mula berevolusi dan kita sememangnya memerlukan peralatan baharu khusus untuk banteras kegiatan pengedaran dadah,” katanya. – Bernama, 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen