Semua kaum marah bukti kerajaan adil, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamd berkempen sempena PRK Tanjung Piai di Pekan Nanas, Johor hari ini. Beliau berkata kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan semua kaum kerana fokus utama harus diberikan kepada keperluan negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2019.

SENTIMEN masyarakat Cina yang masih tidak berpuas hati dalam beberapa isu pendidikan menujukkan kerajaan adil melayan semua kaum, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, kerajaan tidak dapat memenuhi tuntutan semua kaum kerana fokus utama harus diberikan kepada keperluan negara.

“Tidak ada kemungkinan untuk kita layan semua permintaan daripada semua kaum. Apabila kita dapati semua kaum tidak puas hati, bermakna kita layan rakyat dengan baik.

“Kalau kita hendak bagi puas hati satu kaum, kaum yang lain akan rasa tidak puas hati. Jadi semua kaum tidak dapat (penuhi tuntutan)

“Tetapi negara dapat kerana bila kita dapati semua bersatu hati, menerima kerajaan campuran, maka negara kita tetap akan maju,” katanya dalam satu sidang media di Pekan Nenas hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kerisauan kaum Cina dengan isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), yang dibangkitkan dalam kempen PRK Tanjung Piai.

Sehingga kini kerajaan masih belum menerima laporan daripada Jawatankuasa Khas Peperiksaan Bersepadu Sekolah Persendirian Cina yang sepatutnya diserahkan pada hujung Oktober lalu.

Turut dibangkitkan dalam kempen ini adalah isu peruntukan untuk Universiti Tunku Abdul Rahman (Utar) yang masih belum disalurkan.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan kerajaan tidak menyalurkan dana kerana MCA masih belum melepaskan penguasaan ke atas institusi itu. – 14 November, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen