BN edar risalah sokong calon Muslim supaya Cina marah, kata PM


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamd berharap tiada yang terpengaruh dengan kempen betujuan membangkitkan kemarahan pengundi Cina di Tanjung Piai. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 14 November, 2019.

RISALAH menyeru pengundi menyokong calon Muslim yang diedarkan semasa ceramah perdana Pakatan Harapan (PH) pada malam tadi adalah taktik kotor Barisan Nasional (BN), kata Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, beliau berharap pengundi tidak termakan dengan kempen tersebut yang betujuan membangkitkan kemarahan pengundi Cina di Tanjung Piai.

Katanya, BN juga mengelirukan pengundi dengan mengedar bahan kempen memaparkan gambarnya memakai baju berwarna biru untuk menggambarkan beliau menyokong parti tersebut.

“Jadi saya harap, orang di sini janganlah dengar hasutan daripada parti BN, dia tipu macam-macam. Hari itu tunjuk gambar saya pakai baju biru dan di belakang itu macam saya kempen untuk BN.

“Itu satu penipuan, hari ini dapati ada pamplet yang dikeluarkan suruh sokong Karmaine tetapi di sebelah itu buy Muslim. Sengaja nak bagi orang Cina marah,” katanya dalam sidang media di Pekan Nenas.

Risalah yang menyeru pengundi memilih calon Muslim itu dikesan diedarkan di tapak ceramah PH di Terminal Bas Kukup Laut di Tanjung Piai pada malam tadi.,

Risalah berkenaan didapati diletakkan di setiap kerusi yang disusun dalam program tersebut.

Risalah itu antara lain memaparkan tulisan “Undilah dengan bijak”, “Vote Muslim first” dan  “Siapa calon BN?” selain logo halal dan slogan kempen membeli produk Islam.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir berkata beliau yakin pengundi sama ada kaum Cina atau Melayu tidak akan terpedaya dengan penipuan BN itu.

“Tetapi saya tak ingat orang Cina begitu bodoh, boleh ditipu penyangak-penyangak ini. Orang Cina lebih arif dalam bidang pilihan raya, dan saya tidak percaya mereka akan undi BN semata-mata kerana poster itu.

“Pengundi Tanjung Piai bukan bodoh. Mereka sudah lalui 14 pilihan raya. Mereka arif dengan penipuan.

“Kali ini BN yang menipu. Kita dapati orang Tanjung Piai berhati hati dalam perkara itu,” ujarnya.

Helaian risalah itu juga menyenaraikan sumbangan penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Dr Md Farid Md Rafik serta biodata calon PH, Karmaine Sardini.

Ia mensasarkan ceramah mega disertai Dr Mahathir dan juga Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

Kempen sokong calon muslim itu pada asalnya dibangkitkan oleh parti Berjasa, yang turut bertanding dalam PRK Parlimen ini.

Calon parti itu yang juga presidennya Badhrulhisham Abdul Aziz berkeras untuk bertanding walau ditegah oleh parti rakannya PAS, untuk memastikan wakil muslim memenangi PRK itu.

Turut bertanding adalah Wee Jeck Seng dari BN, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.

Seramai 42% daripada 53,528 pengundi berdaftar Tanjung Piai terdiri daripada pemilih kaum Cina. – 14 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen