SATU risalah menyeru pengundi memilih calon muslim dikesan beredar di tapak ceramah kempen PH di Terminal Bas Kukup Laut di Tanjung Piai.
Risalah itu antara lain memaparkan tulisan “Undilah dengan bijak”, “Vote muslim first” dan “siapa calon BN?”selain logo halal dan slogan kempen membeli produk Islam.
Helaian risalah itu juga menyenaraikan sumbangan penyandang kerusi Parlimen Tanjung Piai, Dr Md Farid Md Rafik serta biodata calon PH, Karmaine Sardini.
Ia dikesan diedarkan individu tidak dikenali dalam program ceramah malam ini yang memaparkan barisan pemimpin utama PH termasuk Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
Mengulas perkara itu, Ketua Armada Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata mereka mengesyaki sebaran risalah itu merupakan satu tindakan sabotaj ke atas kempennya.
“Saya semak dengan penganjur dan tiada siapa yang tahu (mengenai penyebaran risalah). Kami syak ia adalah sabotaj.
“Pendirian kita, undi calon yang bawa pembangunan kepada Tanjung Piai, yang melawan rasuah. Kaum dan bangsa tidak penting,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Turut ditampilkan dalam ceramah mega malam ini adalah Pengerusi Amanah Mohamad Sabu, Setiausaha Agung PKR Saifudin Nasution dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Kempen sokong calon muslim itu mula dibangkitkan oleh parti Berjasa, yang turut bertanding dalam PRK Parlimen ini.
Calon parti itu yang juga presidennya Badhrulhisham Abdul Aziz memutuskan untuk bertanding, walau ditegah oleh parti rakannya PAS, untuk memastikan wakil muslim memenangi PRK itu.
Turut bertanding adalah Wee Jeck Seng dari BN, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan dua calon Bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abdul Ghaffar.
Parlimen Tanjung Piai mempunyai pengundi berdaftar seramai 53,528 yang dipecahkan kepada dua Dun iaitu Kukup dan Pekan Nenas.
Dun Kukup mempunyai 26,920 pengundi, di mana 60% daripadanya adalah dari kalangan orang Melayu.
Dun Pekan Nenas mempunyai jumlah pengundi yang hampir sama banyak, 26,608 orang yang mana 45% daripadanya adalah pemilih Cina. – 13 November, 2019.
Komen