SEORANG lelaki ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat 23 sebuah pangsapuri di Meru di Ipoh, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP A. Asmadi Abdul Aziz berkata mayat lelaki berumur 55 tahun itu ditemui kira-kira pukul 11.55 pagi oleh orang awam sebelum memaklumkannya kepada pihak polis.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa jatuh dari (unit) tingkat 23 dan didapati dalam rumah itu ada seorang perempuan berumur 46 tahun dalam keadaan mabuk (sehingga) semasa polis minta pintu dibuka pun sukar sebab mabuk, kita telah menahannya dan dibawa ke hospital untuk tindakan lanjut.
“Polis juga menemukan kerusi di beranda pangsapuri di tempat dikatakan si mati panjat dan kita tidak menemukan sebarang kesan pergelutan. Mayat dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat,” katanya ketika di lokasi kejadian.
Menurut A.Asmadi, maklumat awal yang diterima menyatakan mangsa sedang berada dalam keadaan tertekan kerana telah diberhentikan kerja beberapa bulan lalu.
Bagaimanapun, katanya siasatan lanjut sedang dijalankan selain pihak polis juga sedang berusaha menghubungi keluarga mangsa.
Katanya buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu keputusan bedah siasat. – Bernama, 13 November, 2019.
Komen