Menteri besar Johor keliru identiti


Mahdzir Ibrahim

DALAM dua pandangan terdahulu, saya memberi fokus kepada isu seni kuda kepang atau reog yang diharamkan di Johor. Yang terakhir, saya menulis surat terbuka kepada Yayasan Warisan Johor agar mereka menyemak kembali peranan seni tradisi ini.

Pada akhir surat itu saya petik: “Bangsa yang gagal adalah bangsa yang tidak memelihara kebudayaannya”. Sungguhpun ia bersifat hipotesis, tetapi ia mungkin sudah dapat justifikasinya.

Pertama, rata-rata daripada pembaca, tidak dapat mengunyah pandangan ini dengan waras. Mereka memilih untuk melihat isu ini sebagai isu ‘agama’ – kepercayaan, akidah dan khurafat.

Saya rasa pemikiran agama sebegini didorong oleh rasa tidak yakin dan tidak faham. Ini seakan ada persamaan dengan pemikiran ala “Ustaz Zamihan” yang sering memandang negatif sesuatu perkara yang dianggap berselisih dengan cara Islam menurut fahamannya, maka pandangan itu tidak akan dilayan dengan adil. 

Kedua, rata-rata pembaca membaca teks tanpa konteks, apatah lagi membaca asas pandangan saya. Maka pandangan saya ini dinilai berdasarkan keahlian saya bersama parti DAP.

Mereka tidak dapat membaca betapa pentingnya memelihara khazanah kebudayaan, ia sama dengan memelihara khazanah alam, laut, bukit dan hasil perut bumi kita. Seakan kita sudah tiada “sense of belonging”. Kerana itu saya kata, hipotesis saya ini ada justifikasinya.

Yang haram jadi halal

Baru-baru ini, lebih tepat pada 17 Oktober 2017, Menteri Besar Johor, Khaled Nordin telah memuat naik di Facebook gambaran visual reka bentuk konsep stesen Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR KL-SG) yang dikatakan sebagai “mencerminkan identiti dan warisan Malaysia namun pada masa sama moden dan futuristik”.

Visual tersebut adalah gambaran reka bentuk fizikal bangunan stesen kereta api. Gambaran visual ini juga adalah gambaran pemikiran dan kefahaman beliau terhadap “kemajuan” dan “warisan kebudayaan”.

Bagi saya, status ini cukup konflik. Konflik yang mewakili krisis identiti Khaled yang tidak pasti mahu menjadi apa dan mewakili apa.

Menteri besar Johor ini menyifatkan kuda kepang adalah sebahagian daripada warisan budaya rakyat (Johor dan Malaysia), yang harus diangkat menjadi simbol kebanggaan rakyat.

Namun yang peliknya, kerajaan Khaled tidak sanggup mempertahan dan memelihara warisan kebudayaan ini dengan membiarkannya terus diharamkan untuk rakyat. 

Ironi sekali Khaled ini, kuda kepang yang diharamkan diangkat menjadi motif konsep stesen kereta api!

Kuda kepang diharamkan di Johor dengan alasan kononnya akan merosakkan akidah umat Islam, tetapi motif kuda kepang yang haram inilah yang diangkat menjadi batu simen bangunan yang tersergam besar. Ini mirip konsep pemikiran berhala zaman “Johor Berkemajuan”.

Mungkin stesen HSR KL-SG di Batu Pahat ini perlu disahkan status halalnya terlebih dahulu oleh orang agama Umno sebelum kerajaan membinanya, takut-takut bangunan ini boleh merosakkan akidah umat Islam di Batu Pahat.

Umno yang kelakar

Jika saya pelancong yang menaiki kereta api laju dari Kuala Lumpur ke Singapura dan singgah melawat Batu Pahat, saya cuma boleh melihat motif replika kuda kepang. Saya mungkin akan berswafoto, berlatarbelakangkan bangunan replika kuda kepang itu.

Tetapi saya sebagai pelancong tidak dapat singgah melancong sambil makan-makan, menonton dan menikmati permainan kuda kepang, tidak dapat melihat seni warisan dan estetika bangsa ini. Semua ini telah tiada dan dijadikan muzium oleh parti yang dikatakan memperjuangkan bangsa itu.

Akhirnya, tujuan membina bangunan replika kuda kepang yang dibanggakan ini jauh tersasar. Tidak ada apa-apa tarikan di Batu Pahat untuk disinggahi oleh pelancong. Jadi bagaimana pertumbuhan ekonomi di Batu Pahat boleh dipacu? Bukankah ini kelakar.

Umno khususnya di Johor membawa pemikiran yang tidak pasti, tidak jelas dan mengelirukan sama ada mahu jadi bangsa yang “berkemajuan” atau bangsa yang “berkebudayaan”.

Akhir kalam, saya ingin mengolah kembali kata-kata saya, masyarakat yang mundur adalah masyarakat yang keliru dengan budaya dan identitinya. Kekeliruan ini akan dizahirkan oleh Khaled dalam sistem ketelusan pentadbiran serta kejituan terhadap dasar-dasar kepada rakyatnya.

Kita sebagai rakyat, baik Bugis, Banjar, Jawa di Johor tidak boleh lagi dikelirukan antara pemerintah yang beria-ria memerangi korupsi tetapi pada masa yang sama, kerajaan itu jugalah yang melindungi perasuah dan pencuri.

Kerajaan Khaled ini sangat mengelirukan. – 23 Oktober, 2017.

* Mahdzir Ibrahim ialah pengarah pendidikan politik DAP Johor.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen