Taufan di hari mengundi, 2 mati di Jepun


Seorang wanita berjalan mengharungi angin kuat di hari mengundi di Tokyo pada 23 Oktober 2017. Taufan yang kuat mengakibatkan dua orang mati dan lebih 10 orang cedera. – Gambar AFP, 23 Oktober, 2017.

TAUFAN kuat yang melanda kawasan tengah Jepun pagi ini telah mengakibatkan dua orang mati dan lebih 10 lain cedera, hanya beberapa jam selepas berjuta-juta orang keluar mengundi.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan pantai dan berhampiran sungai supaya berpindah ke pusat perlindungan.

Taufan Lan yang digambarkan sebagai “sangat besar dan kuat,” telah mengakibatkan tanah runtuh di Shizuoka, barat daya Tokyo sekitar jam 3 pagi waktu tempatan.

Ribut sekuat 198kmj itu telah mengakibatkan hujan lebat di kebanyakan kawasan pada hujung minggu, kata agensi meteorologi.

Taufan itu sedang bergerak ke arah timur laut dan berkemungkinan melanda Tokyo dan kawasan sekitarnya pada hari ini.

Pengendali kereta api ibu negara itu telah memutuskan untuk membatalkan beberapa perkhidmatan pada waktu pagi. Beberapa kereta api laju “Shinkansen” yang membawa penumpang terhenti semalaman di kawasan tengah Jepun apabila taufan tersebut menyebabkan putus bekalan, kata NHK.

Hampir 300 penerbangan yang dijadualkan pada Isnin telah dibatalkan, selepas angin kuat memaksa syarikat penerbangan membatalkan lebih 500 penerbangan semalam, menurut siaran awam.

Beberapa perkhidmatan feri di barat Jepun juga turut dibatalkan.

Seorang lelaki menjadi mangsa pertama taufan tersebut apabila sebuah kayu penyokong pembinaan jatuh mengenainya di sebuah tapak pembinaan di Fukuoka, barat Jepun.

Mangsa kedua, lelaki berusia 70 tahun ditemui mati selepas dia menyelam ke dalam laut untuk mengambil tali daripada kapal lain untuk menyelamatkan botnya yang mengalami masalah, kata seorang pengawal kepada AFP.

Sekurang-kurangnya 11 orang cedera di seluruh negara, manakala seorang lelaki berusia 85 tahun kehilangan rumahnya akibat tanah runtuh, kata NHK.

Rakaman televisyen menunjukkan pasukan penyelamat menunda sebuah bot getah yang membawa seorang wanita tua di kawasan perumahan di Chiba, tenggara Tokyo selepas sungai melimpah membanjiri kawasan itu.

Tindak balas kecemasan

Terdahulu, Perdana Menteri Shinzo Abe telah mengarahkan menterinya yang bertanggungjawab terhadap bencana supaya bersedia untuk mempersiapkan pasukan pemindah dan penyelamat, termasuk pasukan tentera.

“Untuk melindungi nyawa rakyat, kabinet Abe akan bersatu dan melakukan yang terbaik untuk menyediakan tindak balas kecemasan terhadap bencana,” katanya kepada pemberita.

Pengundi di ibu negara menempuh hujan dan angin kuat pada hari mengundi, dengan unjuran NHK mengatakan parti gabungan konservatif Abe berada di landasan untuk memenangi dua pertiga “majoriti super.”

Di Kochi, barat Jepun, pengundian telah ditunda selama 20 minit apabila tanah runtuh menghalang jalan, sementara beberapa pusat mengundi lain ditutup lebih awal dari jadual.

Perkhidmatan feri ke sebuah pulau terpencil di barat dibatalkan kerana ombak tinggi, memaksa pegawai pilihan raya untuk menggantung pengiraan undi di sana.

Sabtu lalu, pengundi di pulau-pulau terpencil di selatan telah mengundi lebih awal, menuruti arahan yang dikeluarkan Abe.

Jumlah pengundi tidak termasuk pengundian awal mencatatkan rekod pada tahap rendah sehingga jam 7.30 malam, walaupun kira-kira 20% daripada pengundi telah membuang undi lebih awal, menurut pihak kerajaan. – AFP, 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen