Najib cuba sembunyi situasi sebenar 1MDB, kata Wan Azizah


Yasmin Ramlan

Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama beberapa pemimpin pembangkang lainmempersoalkan tindakan sepaker Dewan Rakyat menolak empat soalan yang diajukannya di Parlimen semasa sidang media di Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 23 Oktober, 2017.

PERDANA Menteri Najib Razak cuba menyembunyikan situasi sebenar skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) daripada diketahui umum, dakwa Presiden PKR, Dr Wan Azizah Wan Ismail, selepas empat soalan ahli Parlimen Permatang Pauh itu yang diajukan di Parlimen ditolak oleh speaker Dewan Rakyat.

Empat soalan itu menyentuh isu pengesahan kompaun Bank Negara Malaysia (BNM) ke atas 1MDB, isu pematuhan 1MDB terhadap penarikan balik pelaburan oleh Bank Negara dan isu membawa pulang kembali aset-aset yang dirampas oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

“Pertanyaan saya itu ditolak. Kenapa ia ditolak? Pada hari ini saya telah menerima surat jawapan dari Pejabat Setiausaha Dewan Rakyat bagi memaklumkan alasan penolakannya.

“Isu-isu yang kita bangkitkan bukan hanya berkaitan kompaun yang dikenakan oleh Bank Negara terhadap 1MDB dan pendirian balik pelaburan tetapi juga tindakan perundangan terhadap kesalahan jenayah 1MDB yang berada di bawah jurisdiksi Najib,” katanya pada satu sidang media di Parlimen, hari ini.

Dr Wan Azizah berkata, satu usul di bawah Peraturan 99, iaitu Peraturan-peraturan Mesyuarat Dewan Rakyat telah dikemukan oleh 60 ahli Parlimen pembangkang termasuk Warisan dan PAS bagi menentang keputusan tersebut.

“Menurut Peraturan 99 itu, ia memadai dengan usul bersendiri seorang ahli. Namun, kami telah mengemukakan usul bersendiri itu dengan ditandatangani lebih a 60 ahli Parlimen pembangkang yang merangkumi PKR, DAP, Amanah, Bersatu, Warisan serta PAS,” katanya.

Menurut beliau, ia dikemukakan semasa sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini untuk mendapatkan penjelasan berhubung kenyataan media yang dikeluarkan oleh Bank Negara berhubung cadangan dikemukakan kepada Peguam Negara, Apandi Ali bagi menjalankan pendakwaan jenayah di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 (ECA) atas kesalahan pelanggaran Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 sehingga dikenakan kompaun sebanyak RM115.8 juta. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen