LANGSUNG: Shafee cuti sakit, Shahrol masih tidak sihat


Bede Hong Timothy Achariam

Bekas CEO Shahrol Azral Ibrahim Halmi tidak dapat memberi keterangan pada perbicaraan hari ini kerana masih tidak sihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2019.

SAKSI kesembilan pendakwaan, bekas CEO 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Shahrol Azral Ibrahim Halmi, dipanggil lagi untuk memberi keterangan dalam perbicaraan membabitkan bekas perdana menteri Najib Razak yang masuk hari ke-35 hari ini.

Shahrol akan disoal balas oleh peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah.

Perbicaraan pada Isnin lalu ditangguhkan selepas Shahrol memberitahu mahkamah yang beliau tidak sihat.

Pada hari yang sama juga, di kamar lain, mahkamah memerintahkan Najib membela diri selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan wujud kes prima facie terhadapnya dalam kes SRC International. Najib dihadapkan dengan tujuh pertuduhan melibatkan dana RM42 juta dalam kes itu.

Ketika sesi soal balas Isnin lalu, Shahrol berkata bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dilantik ke dalam 1MDB pada 2011 dan sebelum itu bekerja di Utama Banking Group (UBG) yang dimiliki oleh ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho.

Nik Faisal yang dipercayai melarikan diri, dilantik sebagai ketua pegawai pelaburan (CIO) 1MDB dengan kelulusan dari Najib, kata saksi itu.

Apabila ditanya sama ada beliau boleh kemukakan surat lantikan Nik Faisal, Shahrol berkata beliau akan cuba dapatkannya dari pegawai yang menyiasat kes itu.

Pendakwaan menuduh Najib bersekongkol dengan Low menipu untuk mendapatkan berbilion ringgit dana 1MDB. 

Najib yang ketika itu juga adalah menteri kewangan, merupakan pemegang tunggal kepentingan 1MDB atas kapasitinya sebagai ketua Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD). Beliau juga adalah pengerusi lembaga penasihat 1MDB.

Najib, 66, dihadapkan dengan empat pertuduhan salah guna kuasa untuk memperoleh RM2.3 bilion dari dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram bagu jumlah sama.

Beliau diwakili sekumpulan peguam uang diketuai Shafee. Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram menerajui pihak pendakwaan. Perbicaraan dijalankan di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Bekas perdana menteri Najib Razak tiba di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 13 November, 2019.

The Malaysian Insight membawakan secara langsung perbicaraan hari ini: 

10.10am: Sequerah berkata disebabkan itu perbicaraan hari ini dan esok ditangguhkan.

Beliau berkata pengurusan kes tetap dijalankan pada 13 Disember. Ini kerana kes pindaan laporan audit 1MDB akan bermula pada Isnin. Najib didakwa bersama bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy bagi kes tersebut.

10.01am: Pasukan pembelaan juga memohon perbicaraan hari ini dan esok ditangguhkan kerana Shafee mendapat cuti sakit kerana mengalami jangkitan pada tekak.

9.59am: Sri Ram maklumkan kepada mahkamah perbicaraan hari ini tidak dapat diteruskan kerana Shahrol masih tidak sihat.

9.58am: Mahkamah mula bersidang.

9.44am: Hakim Collin Lawrence Sequerah memanggil peguam masuk ke kamarnya. Peguam bela utama, Muhammad Shafee Abdullah cuti sakit. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen