Pemuda BN, PAS desak Guan Eng henti kempen rasis di Tg Piai


SM Amin

Asyraf Wajdi Dasuki berkata, Umno dan PAS sedar bahawa mereka memerlukan sokongan kaum lain untuk membentuk kerajaan kerana negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 November, 2019.

PEMUDA Barisan Nasional (BN) dan PAS mendesak Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menghentikan ucapan berbaur perkauman ketika berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai.

Pengerusi Pemuda BN Asyraf Wajdi Dasuki berkata kerjasama Umno dan PAS dalam Muafakat Nasional bukan perkauman tetapi atas dasar untuk menguatkan Islam dan Melayu, agama dan kaum teras seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, tanpa meminggirkan kaum dan agama lain.

Jelasnya, Umno dan PAS sedar bahawa mereka memerlukan sokongan kaum lain untuk membentuk kerajaan kerana negara ini terdiri daripada masyarakat berbilang kaum.

“Jangan mainkan api kebencian agama dan kaum. Guan Eng buat kenyataan di sini dan sebelum ini, kalau berjaya penyatuan ummah, orang Umno dan PAS akan melakukan kezaliman kepada bangsa lain. Begitu juga kenyataan beliau menghina penjawat awam.

“Kami bekerjasama atas dasar untuk menguatkan agama dan kaum teras di negara ini yang dipateri dalam perlembagaan. 

“Kita sedang melakar Malaysia yang sebenar dengan acuan yang asal melalui persetujuan antara semua kaum bahawa negara ini milik semua,” kata Asyraf, berucap dalam ceramah Pemuda Muafakat Nasional di Pekan Nanas, malam tadi.

Kempen itu disertai Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan R. Thinalan dan Ketua Pemuda PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin.

Guan Eng dalam satu ceramah di Tanjung Piai sebelum ini mendakwa pembangkang membuat kempen memboikot barangan dan perniagaan bukan Islam dan cuba menutup sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil.

Beliau juga dalam ceramah yang sama turut mengeluarkan kenyataan prejudis terhadap penjawat awam dengan mendakwa mereka tidak memberi kerjasama kepada kerajaan Pakatan Harapan.

Kempen itu disertai Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong, Ketua Pemuda MIC Kebangsaan R. Thinalan dan Ketua Pemuda PAS Pusat Khairil Nizam Khirudin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 November, 2019.

Sementara itu, Thinalan dalam ceramahnya berkata sikap rasis Guan Eng dan DAP semakin terserlah selepas PH berjaya menawan Putrajaya.

“Kita kena kembalikan balik kegemilangan Malaysia dahulu. Kita hendak Malaysia lama, bukan Malaysia baru yang rasis.

“PH hanya membangkitkan isu perkauman di semua ceramah mereka. Tetapi di pentas Pemuda BN, atas nama Muafakat Nasional kita hanya bangkitkan pengundi-pengundi di sini, isu rakyat. Kita bukan rasis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Pusat menyifatkan tindakan kerajaan menggunakan isu berbaur perkauman adalah provokasi terhadap Barisan Nasional dan PAS supaya menentang kerajaan menggunakan kekasaran.

“Mereka menggunakan isu rasis kerana hendak provokasi anak muda berbaju biru dan hijau supaya menentang kerajaan secara gerila dan tidak berakhlak. 

“Apa yang keluar daripada mulut saya dan Asyraf tidak pernah terkeluar daripada ketetapan perlembagaan. Itu janji kami kepada MCA, MIC dan kawan-kawan yang lain,” katanya.

Antara belia yang hadir pada ceramah Pemuda Muafakat Nasional di Pekan Nanas, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 13 November, 2019.

Tegas Khairil, soal keharmonian di negara ini tidak wajar diganggu gugat kerana ianya akan menyebabkan pertembungan antara kaum sekiranya dibiarkan tanpa kawalan.

“Sekiranya berlaku tergugatnya keharmonian di dalam negara ini, maka akan berlaku pertembungan antara bangsa. 

“Bila ini berlaku, itulah masanya anasir dari luar akan masuk mentadbir dan menjajah negara kita. Atas sebab itu PAS mengambil keputusan yang penting untuk bekerjasama dengan BN,” ujarnya.

Muafakat Nasional adalah gagasan baru politik pembangkang selepas Umno dan PAS menjalin kerjasama rasmi pada September lalu. – 13 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen