Interpol masih belum jumpa Jho Low, kata Zahid Hamidi


Muzliza Mustafa

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi berkata isu skandal 1MDB hanya dibangkitkan oleh ahli politik pembangkang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.

PUTRAJAYA masih belum menerima sebarang maklumat daripada Interpol untuk mengesan Low Taek Jho atau Jho Low yang didakwa terlibat dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri bagaimanapun yakin pasukan polis antarabangsa itu sudah menjalankan tugas mereka dengan profesional, katanya sebagai menjawab soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali di Dewan Rakyat.

“Kita telah kemukakan, minta pada Interpol cari di manakah orang seperti yang dinyatakan oleh MP Gombak dan kita yakin mereka telah bertindak secara profesional.

“Pihak polis buat masa ini belum memperolehi maklumat terperinci dari Interpol,” katanya.  

“Tapi kita yakin usaha yang dilakukan oleh beberapa pihak di peringkat antarabangsa terutamanya agensi perisikan telah dimuktamadkan dan kita yakin bahawa kes itu telah tidak lagi relevan kecuali dibangkitkan oleh ahli politik yang tidak pernah puas hati mengenai kes ini.”

Azmin sebelum itu meminta Kementerian Dalam Negeri menjelaskan apakah kerajaan sudah memohon bantuan Interpol untuk mengesan Jho Low yang dikatakan hilang tanpa dapat dikesan.

Jho Low merupakan antara individu yang dikehendaki dalam siasatan berkaitan 1MDB yang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas yang pada suatu masa dulu diketuai bekas Peguam Negara, Abdul Gani Patail.

Pasukan petugas khas itu kemudian dibubarkan selepas Apandi Ali dilantik menggantikan Gani pada 2015.

Apandi awal tahun lalu mengumumkan Perdana Menteri Najib Razak bebas daripada sebarang salah laku dalam urusan 1MDB.

Azmin pada 14 Ogos lalu memfailkan permohonan menuntut satu perintah mandamus yang mengarahkan ketua polis negara menangkap dan membawa Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho di hadapan majistret Malaysia bagi menghadapi tuduhan jenayah di bawah Seksyen 409 dan 420 atau sebarang kesalahan lain.

Beliau mengemukakan alasan bahawa Jho Low melakukan kesalahan termasuk pecah amanah dan penipuan kerana menyebabkan syarikat 1MDB mengalami kerugian dan pihak ketiga mendapat keuntungan secara salah.

Bagaimanapun permohonan itu ditolak oleh Hakim Mahkamah Tinggi Hanipah Farikullah pada 3 Oktober lepas dengan alasan tiada merit.

Azmin bagaimanapun memfailkan rayuan terhadap keputusan itu menerusi peguamnya Tetuan Daim & Gamany di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada 6 Oktober lalu.

Peguam Kanan Persekutuan Alice Loke sebelum ini membantah permohonan Azmin dengan alasan, antaranya, tiada bukti Jho Low melakukan kesalahan di Malaysia. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen