Guru mengajar tak lebih 45 jam seminggu


Jumlah jam mengajar guru sekolah di Malaysia tidak sampai 45 jam seminggu, jelas Mahdzir Khalid. – Gambar The Malaysian Insight, 23 Oktober, 2017.

TEMPOH bekerja bagi setiap guru sekolah tidak boleh melebihi 45 jam seminggu dan ia hanya melibatkan tugas utamanya iaitu mengajar, kata Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid.

“Beban guru, mengikut laporan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), satu minggu bekerja tidak boleh lebih daripada 45 jam, kerana jumlah waktu mengajar guru dan waktu-waktu lain di sekolah tidak sampai 45 jam seminggu.

“Cuma ada perkara berkaitan (tugasan) utama guru dan bukan utama. Jumlah (jam) dia mengajar di sekolah dan jumlah perkara lain yang dia lakukan, dianggap bukan hakiki,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab soalan ahli Parlimen Bukit Gantang Idris Ahmad (PAS) yang bertanya sama ada bebanan tugas guru kini ada kaitan dengan masalah gangsterisme yang membuatkan guru tiada masa meluangkan masa dengan pelajar.

Mahdzir berkata, setakat tahun ini, seramai 442 dari 5.1 juta pelajar termasuk sekolah kebangsaan dan sekolah menengah di seluruh negara dibuang sekolah disebabkan masalah disiplin.

Meskipun jumlah itu dilihat kecil, tetapi ia sesuatu yang perlu diambil kira oleh semua pihak bagi melihat masalah disiplin pelajar ini, katanya.

“Saya nak jelaskan, kalau boleh tak nak sampai mereka dibuang sekolah. Kaunseling sangat diperlukan untuk memujuk mereka, dan kalau boleh berada (tidak dibuang) di sekolah,” kata Mahdzir. – 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen