Malaysia yakin capai rating keselamatan udara AS dalam 12 bulan


Noel Achariam

Ahli lembaga pengarah CAAM Afzal Abdul Rahim pada sidang akbar petang tadi berkata mereka berharap untuk naik semula ke Kategori 1 dalam tempoh 24 bulan. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 12 November, 2019.

SELEPAS diturunkan kepada Kategori 2 dalam penarafan keselamatannya, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) yakin dalam memenuhi semua syarat ditetapkan Pihak Berkuasa Penerbangan Amerika Syarikat (FAA) dalam tempoh 12 bulan.

Ahli lembaga pengarah CAAM Afzal Abdul Rahim pada sidang akbar petang tadi berkata mereka berharap untuk naik semula ke Kategori 1 dalam tempoh 24 bulan.

“FAA membenarkan kami ditaksir semula dalam tempoh 12 hingga 24 bulan,” kata Afzal di pejabat CAAM di Putrajaya hari ini.

“Tetapi kami perlu meyakinkan FAA untuk melawat kami dulu dan menjalankan penilaian semula.”

Menjelaskan apa yang berlaku hingga menyebabkan CAAM diturunkan ke Kategori 2, Afzal berkata FAA memberikan 300 soalan untuk dijawab sebagai sebahagian auditnya pada April.

Katanya, ada 33 soalan oleh FAA yang tertunggak dan Afzal bersetuju bahawa mereka tidak memenuhi 22 syarat.

“Kami dapati baki 11 soalan tidak jelas.

“Soalannya tentang undang-undang, peraturan, keselamatan dan aspek lain.

“Kami yakin akan memenuhi syarat FAA AS,” katanya.

FAA semalam mengumumkan ia menurunkan rating keselamatan udara CAAM kerana gagal mencapai standard keselamatan antarabangsa.

Dalam satu kenyataan menjawab soalan The Malaysian Insight, pihak berkuasa penerbangan itu berkata CAAM gagal memenuhi standard keselamatan ditetapkan Organisasi Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO) dan menerima rating Kategori 2 berdasarkan kepada penilaian semula pihak berkuasa penerbangan awam negara itu. – 12 November, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen