POLIS menahan 68 individu di Sarawak kerana terbabit dalam kegiatan judi haram seperti menjual nombor ekor 4D dan perjudian siber dalam 49 serbuan dilakukan dari 16 Oktober sehingga semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk Dev Kumar berkata mereka yang ditahan terdiri daripada 41 lelaki dan selebihnya wanita berumur antara 16 dan 67 tahun.
Dalam 47 serbuan itu, 61 individu ditahan dan polis telah merampas wang tunai berjumlah RM12,982, telefon bimbit, mesin pencetak, mesin kira, slip pertaruhan dan alat tulis, katanya dalam kenyataan di sini.
“Dua lagi serbuan dilakukan di Kuching dan Lawas terhadap perjudian siber yang membawa kepada penahanan tujuh individu disyaki menyediakan perkhidmatan tambah nilai kepada kaki judi siber dan tujuh telefon bimbit dan beberapa tablet turut dirampas,” katanya. – Bernama, 23 Oktober, 2017.
Komen