Sarawak kekal tuntutan royalti 20% minyak dan gas, kata Abang Jo


Desmond Davidson

KETUA Menteri Abang Johari Openg memberi jaminan kepada penduduk Sarawak yang beliau akan memberikan mereka laporan mengenai rundingan minyak dan gas berlanjutan dengan Petronas dalam tempoh tiga bulan akan datang.

Beliau berkata walaupun menerima kritikan berhubung beberapa keputusan mengenai perkara itu baru-baru ini, pendirian negeri mengenai peratusan royalti tidak berubah.

“Saya masih meminta 20%,” katanya pada sidang media sempena 100 hari memegang jawatan sebagai ketua menteri di Kuching hari ini.

Pada masa ini, Sarawak dan Sabah – dua negeri pengeluar minyak dan gas terbesar di negara ini – menerima royalti 5% ke atas sumber yang semakin berkurangan.

“Memandangkan Petronas berkata ia tidak boleh memberi 20% buat masa sekarang disebabkan harga minyak dunia yang rendah, kami menuntut sesuatu yang lain sementara menunggu harga meningkat,” katanya merujuk kepada beberapa perjanjian loji metanol yang dimiliki 100% kerajaan negeri di Tanjung Kidurong di Bintulu dicapai dengan Petronas.

Kilang itu dimiliki syarikat berkaitan kerajaan negeri, Yayasan Hartanah Bumiputera Sarawak (YHBS).

Dua memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani YHBS dengan Petronas awal hari ini adalah untuk membekalkan 140 juta kaki padu standard sehari (mmscfd) gas asli kepada loji metanol dan bagi penjualan serta pembelian metanol yang dihasilkan kilang.

Petronas dalam satu kenyataan berkata syarat utama perjanjian tersebut ialah harga, jumlah dan tempoh gas yang dibekalkan Petronas kepada YHBS.

Ia berkata perjanjian itu permulaan kepada perjanjian jualan gas (GSA) ditandatangani Petronas dan YHBS pada masa akan datang.

Permintaan tegas Abang Johari meneruskan pendahulunya Adenan Satem. Permintaan tersebut mendapat sokongan penuh badan perundangan negeri.

Ketua menteri menegaskan permintaan dan rancangan kerajaan negeri menggunakan wang berbilion ringgit untuk membiayai projek yang sepatutnya dibiayai kerajaan persekutuan, tidak boleh dianggap sebagai negeri yang mampu berdikari.

Abang Johari berkata dana negeri akan digunakan meningkatkan infrastruktur Internet negeri bagi “3terabit lebuh raya Internet”; membina landasan kapal terbang luar bandar bagi kemudahan logistik lebih baik untuk “pengeluar hasil tani” kawasan seperti Bukit Sadok, hab halal Tanjung Manis dan Baleh di mana pembinaan empangan hidroelektrik besar akan dimulakan; dan sistem pengangkutan aliran ringan bagi menghubungkan Kuching dengan Kota Samarahan dan Serian.

Beliau berkata negeri tidak boleh terlalu bergantung kepada Putrajaya untuk menyegerakan pembangunan kawasan luar bandar, pendirian yang disuarakan Adun Semop Abdullah Saidol, yang berkata “terlalu bergantung kepada pembiayaan persekutuan tidak akan membawa kepada pembangunan segera yang diingini.” – 22 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen