Hamas tidak bergaduh dengan Qatar


HAMAS menafikan laporan mengenai ketegangan antara mereka dan Qatar, lapor agensi Turki Anadolu.

Media tempatan sebelum ini memetik ketua Hamas di Gaza Yahya al-Sinwar sebagai berkata, sepanjang mesyuarat bersama hubungan Hamas dan Qatar agak tegang.

Namun melalui kenyataan dikeluarkan semalam, Hamas sama sekali menafikan laporan yang mendakwa ketegangan mereka dengan Doha itu sebagai tidak benar.

Kenyataan itu juga menyebut al-Sinwar “tidak menyebut langsung bahawa Qatar menentang perdamaian Palestin mahupun Qatar tidak berpuas hati dengan pemulihan hubungan baik antara Hamas dengan Mesir.”

Malah, kumpulan pejuang Palestin itu memuji Qatar atas sokongan negara itu terhadap rakyat Palestin.

Dalam masa sama, Hamas masih mengekalkan hubungan akrab dengan Qatar, bersama beberapa lagi ketua pergerakan politik termasuklah Khaled Meshaal.

Qatar ketika ini masih disekat oleh beberapa negara terutamanya Arab Saudi, Mesir Emiriah Arab Bersatu dan juga Bahrain. 

Negara-negara itu telah memutuskan hubungan diplomatik dengan Qatar pada Jun lepas dengan alasan Qatar menyokong aktiviti pengganas.

Qatar bagaimanapun menafikan tuduhan sebaliknya mendakwa sekatan itu bertentangan dengan undang-undang antarabangsa. – Bernama, 23 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen