Jaga emosi ketika kempen PRK Tg Piai, kata polis


Polis meminta parti dan calon bagi PRK Tanjung Piai supaya menjaga emosi penyokong masing-masing pada ketika tempoh kempen yang semakin menghampiri penghujung menjelang hari pengundian Sabtu ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

POLIS meminta parti dan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai supaya menjaga emosi penyokong masing-masing pada ketika tempoh kempen yang semakin menghampiri penghujung menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Pontian Supt Mustafa Bakri Salleh berkata ini selepas mengambil kira keadaan kempen yang semakin hangat dan  rancak dijalankan oleh semua parti dan calon yang  boleh menyebabkan berlakunya provokasi. 

“Jadi kita harap mana-mana parti terlibat supaya dapat mengawal emosi agar tempoh berkempen ini berjalan lancar sehinggalah pada 16 November (Sabtu) iaitu ketika kita menentukan siapakah yang akan menang untuk PRK ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal melibatkan anggota dan pegawai polis di Bangunan Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian hari ini.

Mustafa berkata setakat semalam, kempen secara keseluruhannya masih lagi berjalan dengan lancar walaupun terdapat insiden-insiden terpencil dan berharap keadaan itu  berterusan. 

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada Pakatan Harapan (PH) pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Pada pilihan raya ini, calon PH Karmaine Sardini berdepan cabaran calon Barisan Nasional (BN) Dr Wee Jeck Seng; calon Gerakan Wendy Subramaniam; Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Dr Badrulhisham Abdul Aziz serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar. – Bernama, 12 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen