Sarawak sedia ajar Sains, Matematik dalam Bahasa Inggeris tahun depan


Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin Jawong berkata setakat ini sebanyak RM11 juta telah dibelanjakan kerajaan negeri bagi membuat persiapan berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2019.

SARAWAK bersedia sepenuhnya untuk memulakan sesi pengajaran matapelajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris kepada semua murid tahun satu di 1,026 sekolah rendah kebangsaan seluruh negeri mulai 1 Januari tahun depan.

Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Michael Manyin Jawong berkata setakat ini sebanyak RM11 juta telah dibelanjakan kerajaan negeri bagi membuat persiapan berkenaan.

“Ini termasuk memberikan latihan kepada seramai 2,853 guru dan mencetak buku serta bahannya,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik Sarawak (SaSTEMS) 2019 di Kuching, semalam.

Manyin berkata pihaknya juga menyediakan bahan pengajaran berbentuk video untuk digunakan pada sesi pengajaran dengan kesemuanya akan diedarkan ke setiap sekolah bagi digunakan mulai 1 Januari ini.

“Selepas itu, kami akan melakukan pengawasan (pengajaran matematik dan sains dalam bahasa Inggeris kepada murid tahun satu) sekurangnya selama enam bulan pada tahun depan,” katanya.

Manyin berkata pengajaran kedua-dua matapelajaran terbabit dalam bahasa Inggeris bagaimanapun membabitkan sekolah rendah kebangsaan sahaja, tidak termasuk sekolah jenis kebangsaan.

“Semua sekolah rendah kebangsaan kecuali sebanyak 220 SJKC, mereka (SJKC) memutuskan untuk tidak mengikuti penggunaan bahasa Inggeris sebagai medium pengajaran matapelajaran sains dan matematik tahun depan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri akan membelanjakan sebanyak RM50 juta bagi menyambung bekalan elektrik 24 jam kepada sekitar 200 sekolah di negeri ini yang masih bergantung kepada set janakuasa.

“Begitu juga dengan 428 sekolah di negeri ini yang belum ada bekalan air bersih terawat, kami akan membelanjakan sebanyak RM9 juta bagi mengurangkan bilangan sekolah terbabit,” katanya. – Bernama, 12 November, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen