2 mangsa terakhir tanah runtuh berjaya ditemui


Low Han Shaun

Kesemua mangsa yang tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang berjaya ditemui pihak mencari dan menyelamat. – Gambar ihsan Bomba, 23 Oktober, 2017.

PASUKAN mencari dan menyelamat berjaya menemui dua mangsa terakhir kejadian tanah runtuh di Tanjung Bungah, Pulau Pinang pagi ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Farizan Darus berkata dua mangsa berkenaan adalah penyelia tapak warga Malaysia, Yuan Kouk Wern, 27, dan seorang pekerja Bangladesh.

“Pagi ini pada jam 7.03 pagi, kami menemui mangsa ke-10, dan pada jam 7.13 pagi kami menemui mayat mangsa ke-11. Justeru, semua mangsa sudah ditemui.

“Mayat ke-10 telah dikeluarkan kerana kedudukannya yang lebih mudah. Kami mengeluarkannya terlebih dahulu sebelum mayat terakhir (yang merupakan rakyat Malaysia).

“Anda perlu beri kami masa, semoga dalam masa sejam atau lebih, kami akan mengeluarkan mayat itu,” katanya kepada pemberita di sini.

Mangsa kesembilan yang ditemui semalam ialah Rahaman Abdur dari Bangladesh.

Kejadian tanah runtuh pada Sabtu di tapak pembinaan di Lorong Permai 3 mengakibatkan 11 orang, termasuk penyelia tapak warga Malaysia tertimbus.

Sementara itu, ketua polis daerah timur laut, Anuar Omar berkata pihak polis telah mengambil kenyataan tiga mangsa yang berjaya menyelamatkan diri dengan kecederaan ringan akibat kejadian tanah runtuh itu dan berkata mereka berada di sini secara sah.

“Kami telah mengambil kenyataan tiga mangsa yang terselamat sekitar jam 5 petang di tapak projek. Kesemua mereka mempunyai dokumen yang betul,” katanya.

Tiga pekerja yang selamat ialah warga Bangladesh, Myanmar dan Indonesia.

“Kenyataan mereka akan membantu kami dalam siasatan,” katanya. – 23 Oktober, 2017.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen