PAKATAN Harapan (PH) perlu bekerja lebih keras untuk mengekalkan kerusi Tanjung Piai kerana pengundi masih berbelah bagi untuk menyokong parti kerajaan, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Jelasnya, beliau diberitahu pengundi berkenaan melihat PH masih gagal menyelesaikan masalah yang dihadapi negara walaupun sudah berjaya mengambil alih pentadbiran.
“Saya diberitahu dalam taklimat tadi sambutan (terhadap kerajaan) berbelah bahagi kerana ada orang kata tidak sabar, tidak banyak perubahan. Pilihan raya kecil (PRK) ini hendak bagi peringatan kepada kerajaan.
“Kalau ikut, memang persaingan itu agak sengit. Dulu menang pun sedikit. Kalau kita boleh bekerja keras lebih lagi, kita boleh menang di Tanjung Piai,” katanya.
Dalam ucapannya sewaktu berkempen di pusat daerah mengundi Rimba Terjun Pontian, Anwar berkata PH sememangnya mewarisi ekonomi yang teruk tinggalan Barisan Nasional (BN).
Ia menyebabkan kerajaan sukar membela rakyat sebaiknya namun alasan itu tidak lagi boleh diterima oleh rakyat kerana PH sudah mentadbir lebih satu tahun, katanya.
“Kita warisi ekonomi yang berat, masalah. Betul tetapi orang kampung sudah tidak larat hendak dengar kita warisi masalah lama. Sekarang sudah perintah kerajaan, kena selesaikanlah.
“Saya setuju sebab itu saya gesa jabatan kerajaan, menteri-menteri turun sentiasa ke bawah untuk dengar dan selesaikan masalah.
“Saya minta jentera bantu permudahkan proses supaya nasib rakyat itu dapat dibela,” kata ahli Parlimen Port Dickson itu lagi.
Beliau seterusnya meminta pengundi terus memberi peluang kepada kerajaan untuk menyelesaikan masalah berbangkit dan mendengar keluhan mereka.
“Kita dengar ini semua jadi tidak perlu saudara undi pembangkang untuk kita dengar. Saya dengar ramai pengundi mahu kerajaan buat lebih lagi.
“Masalah nelayan, pekebun kecil, dan berbagai lagi masih wujud di Tanjung Piai. Ramai juga yang mengatakan mahu lebih banyak pembangunan.
“Tugas kita adalah ialah untuk menunaikan janji kita. Banyak isu rakyat yang belum dapat ditunaikan. Jangan kita kempen beritahu semua sudah selesai. Dalam politik kita kena belajar cakap benar,” ujarnya.
PH meletakkan Ketua Bahagian Bersatu Tanjung Piai Karmaine Sardini untuk mempertahankan kerusi itu dalam pemilihan yang akan berlangsung pada 16 November.
Empat lagi calon yang bertanding termasuk Presiden Berjasa Badhrulhisham Abdul Aziz dan Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Wendy Subramaniam.
Dua lagi calon bertanding atas tiket Bebas iaitu pengasas pusat tuisyen Ang Chuan Lock, dan Faridah Aryani Abd Ghaffar, yang mewakili kumpulan pemandu teksi. – 11 November, 2019.
Komen