TIGA wanita nekad meletupkan diri dan membunuh 13 orang serta mencederakan 16 yang lain di bandar timur Maiduguri pada Ahad, kata sumber keselamatan.
Pengebom pertama meletupkan tali pinggang yang mengandungi bom pada jam 9.45 malam di depan sebuah restoran kecil di ibu kota Borno ketika orang ramai membeli makan malam, kata sumber tentera dengan syarat tidak mahu namanya disiarkan.
Dua pengebom nekad lain menyusul beberapa minit kemudian, mengakibatkan kecederaan. Seorang pemimpin militia bersenjata berkata, serangan itu datang “beberapa jam selepas laporan kelihatan ramai anggota Boko Haram di luar bandar.”
Tiada pihak bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Konflik Boko Haram menyebabkan sekurang-kurangnya 20,000 mati dan memaksa lebih 2.6 juta yang lain melarikan diri daripada tempat tinggal sejak 2009.
Jalan dari dan ke Maiduguri terbuka kepada trafik, tetapi pada hakikatnya, kenderaan memerlukan pengiring tentera kerana risiko berlakunya serangan.
Serangan maut menurun beberapa minggu kebelakangan ini dengan sumber keselamatan mengaitkannya kepada serangan ketenteraan baru selepas berakhirnya musim hujan pada September. – AFP, 23 Oktober, 2017.
Komen