Saya terkejut Najib 'terkejut', kata Dr Mahathir


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata mahkamah terlalu berlembut dengan Najib Razak sehingga boleh berkempen di Tanjung Piai walaupun memberitahu tidak sihat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2019.

PERDANA Menteri Dr Mahathir Mohamad melahirkan rasa terkejut apabila Najib Razak menyangka boleh bebas daripada tujuh pertuduhan berkaitan kes SRC International Sdn Bhd

“Saya terkejut kerana beliau terkejut,” kata pemimpin berusia 94 tahun itu.

“Seluruh dunia tahu beliau bersalah. Pendengaran itu mengambil masa beberapa bulan dan beliau mendapat pendengaran yang sangat baik.

Perdana menteri berkata malah Najib juga boleh berkempen di Tanjung Piai, Johor selepas memberitahu tidak sihat sehari sebelumnya.

“Beliau tidak dapat hadir di mahkamah tetapi boleh pergi ke Tanjung Piai pada hari berikutnya dengan mata yang bengkak.

“Kita terlalu berlembut dengannya,” kata Dr Mahathir.

Awal hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengarahkan Najib membela diri dalam perbicaraan SRC International Sdn Bhd berhubung dakwaan menggelapkan RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Dalam satu sidang akhbar kemudian, peguam utama Najib, Muhammad Shafee Abdullah berkata ahli Parlimen Pekan itu terkejut dengan keputusan berkenaan.

““Beliau terkejut kerana pembelaan dipanggil untuk setiap pertuduhan.

“Beliau menjangkakan akan dilepas dan dibebaskan daripada semua tujuh pertuduhan. Kami yakin semua tujuh pertuduhan akan dilepas dan dibebaskan pada peringakt ini kerana kami sudah membantah andaian (bersalah) dalam kes pendakwaan.

“Beliau terkesima. Terkejut sebenarnya,” kata Shafee.

Dalam satu kenyataan berasingan kemudian, Najib berkata beliau akan membersihkan namanya di mahkamah.

“Untuk mempertahankan diri saya, saya perlu memberi kenyataan bersumpah di mana saya boleh disoal balas oleh pihak pendakwaan,” katanya dalam catatan Facebook.

Najib, 66, berdepan tujuh tuduhan jenayah - tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa.

Kesemua pertuduhan berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, dengan Najib dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Najib memilih untuk memberi keterangan bersumpah pada 3 Disember, selepas itu akan disoal balas oleh pihak pendakwa. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen