Kami akan menang lebih 25 kerusi pada PRU14, kata ketua menteri Sarawak


Desmond Davidson

SARAWAK akan memperoleh semula enam daripada kerusi Parlimen dimenangi pembangkang pada pilihan raya umum lalu bagi mengukuhkan kedudukan sebagai negeri “deposit tetap” Barisan Nasional (BN), kata Ketua Menteri Abang Johari Openg hari ini.

“Deria keenam saya mengatakan kami boleh memenangi lebih daripada 25,” kata Abang Johari, merujuk kepada bilangan kerusi daripada 31 kerusi BN  Sarawak yang dimenangi pada pilihan raya umum 2013.

Senario terburuk beliau ialah status quo – BN mengekalkan 25 kerusi dan pembangkang terus dengan enam kerusi bandarnya.

DAP memenangi lima manakala satu milik PKR.

“Sarawak akan terus menjadi negeri deposit tetap BN,” katanya dalam sesi bertemu media di Kuching hari ini sempena 100 hari beliau sebagai ketua menteri.

Keyakinan Abang Johari berdasarkan kepada keputusan dua pilihan raya negeri tahun lepas di mana penguasaan DAP dalam badan perundangan negeri semakin berkurangan dengan populariti pendahulu Abang Johari, Adenan Satem.

Pada pilihan raya itu, DAP, yang mempunyai 12 kerusi sebelum pembubaran Dewan Undangan Negeri pada 11 April, hilang enam kerusi – lima kepada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan satu kepada “calon langsung BN”.

DAP hilang Batu Kawa di Kuching, Dudong di Sibu, Piasau di Miri; yang merupakan kerusi “agak selamat” Repok di Sarikei, dan “kerusi selamat” Meradong, juga di Sarikei di kawasan tengah Sarawak.

Para pengundi majoriti Cina di enam kerusi.

Abang Johari berkata keyakinan beliau juga disebabkan “dasar kita perlu membantu orang Cina”.

Baru-baru ini, sekolah menengah Cina persendirian, menerima geran sebanyak RM6 juta bagi pentadbiran daripada kerajaan negeri.

“Sudah tentu kita mahu orang Cina kembali (dan menyokong BN).”

Penganalisis politik secara amnya bersetuju status quo akan dikekalkan kerana mereka berpendapat kaum Cina mengundi Adenan pada pilihan raya negeri tetapi tidak akan melakukan perkara yang sama untuk perdana menteri kerana dibelenggu skandal pada pilihan raya umum akan datang. – 22 April, 2017.

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen