.jpg)
DALAM ketinggalan, Melayu masih bertegar dengan slogan-slogan yang super hebat tanpa ada kunci kawalan berskala ekonomi besar.
Saya terlibat dalam industri ayam sebagai penyedia teknologi alami dalam kawalan persekitaran. Banyaklah ladang ayam malah zoo persendirian yang saya singgahi atas jemputan mereka.
Sejujurnya, dalam perladangan ayam dan perkebunan skala besar, pengusaha Tionghua antara pengguna awal khidmat nasihat yang saya berikan.
Saya tak mahu bicara tentang masalah bau dan lalat di ladang dalam tulisan ini. Tetapi saya ingin berkongsi pemerhatian sepanjang melakukan kerja di ladang.
Hampir kesemua mereka bermula kecil. Malah ada yang bermula sebagai pembeli ayam keliling kampung pada awal 70-an dan 80-an.
Sebagai kaum bukan Bumiputera mereka tidak mendapat apa-apa bantuan kerajaan. Generasi awal mereka bermula dengan segala keterbatasan.
Ketika itu asas ekonomi negara adalah pertanian. Kecil-kecilan tetapi meriah. Taburan penduduk juga bertumpu di desa. Urbanisasi dan peningkatan penduduk membawa perubahan, dan trend pemakanan juga berubah.
Jelas sekali pengusaha Tionghua generasi kedua bukan sahaja mewarisi usaha generasi pertama, mereka mempertingkat daya pengeluaran selaras dengan permintaan dan perubahan.
Kelompok ini menguasai 80 peratus daripada keseluruhan pengeluaran yang memenuhi keperluan negara hari ini. Secara langsung mereka mampu menentukan mekanisme pasaran.
Pada masa yang sama, pelaburan mereka dalam permodenan pengeluaran, teknologi baka dan pemakanan juga amat terkehadapan.
Kekuatan yang mereka ada mampu membina keyakinan institusi kewangan dengan nilai berbilion ringgit. Hasilnya, melalui dukungan kewangan yang besar, berlaku pengkhususan dalam industri ini dalam kalangan kaum Tionghua.
Ada yang bertumpu kepada penelur, ada yang bertumpu kepada pengeluaran makanan, ada yang bertumpu kepada penetasan, mengeluar anak ayam sehari atau day old chicken. Ia membentuk satu kitaran ekonomi yang mantap dan pakar.
Dengan itu juga, kelompok pengusaha kaum Tionghua menguasai rantaian pembekalan melalui sistem pemasaran yang luas termasuk pasaraya, dan kedai rangkaian serta kedai sejuk beku yang pastinya dikuasai oleh mereka.
Penglibatan pengusaha bumiputera dalam industri ayam secara komersil bermula lewat tahun 80-an. Ia berkembang perlahan dengan ketergantungan kepada kerajaan melalui skim bersama pengusaha besar seperti KFC, dan CP.
Majoritiya adalah ladang kontrak - contract farming. Malah hingga kinipun majoritinya begitu. Secara ringkasnya, pengusaha bumiputera terikat dan diikat oleh kumpulan pemodal besar.
Jarang ada pengusaha Melayu atau Bumiputera yang bebas mandiri. Mereka ada persatuan tetapi ia sering didominasi oleh kepentingan politik tertentu.
Perubahan iklim politik negara dengan juragan-juragan baru yang mengemudi kapal tidak akan memberi apa-apa kesan perubahan jika pemikirannya masih kolot.
Laungan reformasi pertanian dan penternakan tidak lebih sebagai dogma politik muluk penyedap telinga. Ia wajib diterjemah melalui kemahuan, keterlibatan dan keberanian – wills, commitments and convictions.
Menteri Pertanian Salahuddin Ayub, penasihat ekonomi negara Daim Zainuddin, Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) dan kini Anwar Ibrahim, dan esok entah siapa lagi, akan terus berbicara tentang reformasi pertanian.
Namun, petani masih meraba-raba. – 11 November, 2019.
* Mohd Faisal Idris merupakan aktivis pertanian.
* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.
Komen