Terimalah hakikat kewujudan sekolah jenis kebangsaan


MAHKAMAH Persekutuan hari ini memberikan pencerahan yang jelas bahawa Parlimen memang berkuasa menggubal undang-undang yang memberi kuasa kepada menteri pendidikan menubuhkan sekolah kebangsaan serta jenis kebangsaan.

Sebagai bekas timbalan menteri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN) dahulu, saya bersama P Kamalanathan akan tetap menyokong sistem pendidikan sedia ada dan ini adalah keputusan terbaik yang menjelaskan penubuhan sekolah vernakular mempunyai asas perundangan yang kukuh.

Sekolah vernakular telah wujud sekian lama semenjak sebelum merdeka lagi.

Jadi ini bukanlah isu perkauman mahupun mencabar kedudukan bahasa kebangsaan, tetapi hakikat yang perlu diterima bahawa sekolah vernakular memang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara ini sejak dahulu lagi.

Kami mengalu-alukan keputusan mahkamah tersebut. MCA akan terus mempertahankan kedudukan serta pembangunan sekolah vernakular, dan akan memastikan sistem pendidikan pelbagai aliran terus mendapat perlindungan selaras dengan Perlembagaan persekutuan. – 11 November, 2019.

* Chong Sin Woon adalah setiausaha agung MCA.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen