KEPUTUSAN Mahkamah Persekutuan hari ini sepatutnya menghentikan persoalan mengenai kewujudan sekolah vernakular di negara ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.
Mahkamah hari ini menolak permohonan peguam untuk mempersoalkan kewujudan sekolah vernakular di Malaysia yang didakwa melanggar Perlembagaan Persekutuan.
Menyambut keputusan itu Teo berkata beliau berharap pemohon akan berhenti untuk mencabar status sekolah vernakular.
“Saya ingin ucapkan tahniah kepada peguam dari Jabatan Peguam Negara dan ini menunjukkan mereka mampu mempertahankan sekolah vernakular di Mahkamah Persekutuan.
“Saya juga berharap mereka akan berhenti mencabar sekolah vernakular kerana seperti yang dikatakan oleh ramai pemimpin, sekolah berkenaan adalah aset untuk kepelbagaian di Malaysia,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Hakim Besar Malaya Azhar Mohamed pagi tadi menolak cabaran Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berdasarkan hujah yang penubuhan dan kewujudan sekolah vernakular adalah bidang kuasa Parlimen.
Cabaran Khairul berkisar sama ada Parlimen mempunyai autoriti untuk meluluskan pindaan ke atas Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 mengenai soal bahasa pengantar.
Beliau berhujah yang sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil menggunakan bahasa pengantar sendiri dan ia bercanggah dengan Perkara 152 (1) Perlembagaan yang menetapkan bahasa kebangsaan sebagai Bahasa Melayu. – 11 November, 2019.
Komen