Hakim akan tentukan Najib bebas atau diperintah bela diri kes SRC International


Bede Hong Timothy Achariam

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan umum keputusan perbicaraan pada pagi ini sama ada pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Najib. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2019.

BEKAS perdana menteri Najib Razak berdepan dua keputusan sama ada beliau dibebaskan hari ini atau diperintah membela diri dalam perbicaraan kes SRC International atas tuduhan salah guna wang bernilai RM42 juta daripada bekas anak syarikat 1Malaysia Development Bhd itu.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali akan mengumumkan keputusan perbicaraan pada pagi ini sama ada pihak pendakwaan berjaya menimbulkan kes prima facie terhadap Najib.

Sekiranya tertuduh berusia 66 tahun itu diperintahkan untuk membela diri, dia boleh memilih untuk sama ada berdiam diri, membuat kenyataan tidak bersumpah dari kandang tertuduh, atau memberikan keterangan bersumpah dari kandang saksi, beliau kemudian akan disoal balas oleh pihak pendakwaan.

Sekiranya perbicaraan dibenarkan untuk masuk ke fasa kedua, tarikh pendengaran akan ditetapkan dari tarikh 3 Disember hingga 9 Disember.

Mahkamah Tinggi sebelum ini mendengar hujahan pada 22 Oktober hingga 23 Oktober dari kedua-dua belah pihak pendakwaan, yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah dan pendakwaan, yang dipimpin Peguam Negara Tommy Thomas.

Thomas mengemukakan bahawa Najib tidak boleh menafikan bahawa beliau mengetahui tentang RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun peribadinya dan berkata bekas menteri kewangan itu perlu menjelaskan lebih daripada 100 cek yang dikeluarkan dari dua akaun peribadinya di AmBank, walhal pendapatannya kurang daripada RM1 juta setahun ketika itu.

Timbalan Pendakwa Raya V. Sithambaram juga berhujah bahawa Najib sepatutnya membuat laporan polis jika dia tidak bersalah dan beliau juga gagal untuk menyaman AmBank kerana membenarkan transaksi tidak sah dalam akaun bank peribadinya.

“Sekiranya anda adalah perdana menteri sebuah negara dan jika ada orang yang memasukkan RM42 juta ke dalam akaun anda, saya fikir mana-mana orang biasa akan membuat laporan polis dan menyiasat perkara itu. Tetapi perkara sedemikian tidak berlaku,” katanya semasa memberikan hujahan pendakwaan.

Pihak pembelaan bagaimanapun membalas dengan mengatakan bahawa beliau tidak membuat laporan polis berhubung RM42 juta yang dimasukkan ke dalam akaun bank beliau kerana siasatan ke atas SRC International telah dijalankan pada pertengahan 2015.

Kes SRC International menyaksikan 57 saksi memberi keterangan sepanjang 57 hari perbicaraan antara 3 April hingga 27 Ogos.

Semasa perbicaraan, pihak pendakwaan membentangkan lebih daripada 750 bahan bukti, termasuk dokumen bank yang berkaitan dengan akaun bank Najib, transaksi tunai, minit mesyuarat dan transkrip perbualan dalam Blackberry Messenger berhubung transaksi Najib.

Tuduhan dalam kes SRC International dikaitkan dengan pinjaman sebanyak RM4 bilion yang dikeluarkan dari entiti Kumpulan Wang Persaraan (KWAP atau Dana Persaraan) pada tahun 2011 dan 2012, dan Najib dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada tahun 2014 dan 2015 .

Najib dijatuhkan dengan tiga pertuduhan jenayah pecah amanah, tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa.

Beliau boleh dikenakan hukuman 20 tahun penjara jika sabit kesalahan. – 11 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen