Abe dijangka menang selesa di Jepun


PERDANA Menteri Jepun, Shinzo Abe bakal menang selesa dalam pilihan raya negara itu hari ini, memberikannya mandat untuk mengukuhkan pendirian tidak bertolak ansurnya terhadap Korea Utara dan peluang melonjakkan kembali ekonomi ketiga terbesar dunia itu.

Pakatan konservatif pimpinan Abe yang memang dijangka menang 311 kerusi daripada 465 kerusi Parlimen menurut anggaran dikeluarkan syarikat penyiaran swasta TBS, meletakkan ahli politik nasionalis itu sebagai pemimpin Jepun paling lama memerintah.

Kemenangan selesa dalam pilihan raya itu nampaknya akan mengukuhkan pendirian Abe terhadap isu nuklear Korea Utara, selaku sekutu kuat Amerika Syarikat yang mahu mengenakan tekanan maksimum kepada rejim Pyongyang selepas negara itu melancarkan dua peluru berpandu melintasi ruang udara Jepun dalam masa sebulan.

Abe menerajui “kemenangan besar”, kata akhbar Yomiuri di laman sesawangnya.

Jutaan rakyat Jepun menempuh hujan lebat dan angin kencang untuk keluar mengundi yang disebabkan taufan besar yang dijangka melanda negara itu dan amaran dikeluarkan supaya pengundi keluar mengundi lebih awal.

“Saya sokong pendirian Abe untuk tidak tunduk kepada tekanan Korea Utara,” kata seorang pengundi, Yoshihisa Iemori ketika dia membuang undi di Tokyo yang dilanda hujan lebat.

Parti Liberal Demokratik (LDP) pimpinan Abe mendapat manfaat daripada pakatan pembangkang yang lemah dan berpecah, dengan dua parti utama yang menentangnya hanya dibentuk beberapa minggu lalu.

Sokongan kepada Parti Harapan ditubuhkan Gabenor Tokyo Yuriko Koike juga merudum selepas publisiti luar biasa pada awal pilihan raya dan hanya boleh menang di 50 kerusi, lapor anggaran TBS.

Bercakap dari Paris ketika sedang menghadiri majlis menjalankan peranannya sebagai pemimpin ibu kota terbesar dunia, Koike yang nampak kesedihan memberitahu NHK yang dia bimbang “keputusan yang sangat teruk”.

Prestasi Parti Demokratik yang baru dibentuk pula lebih baik daripada jangkaan walaupun masih jauh di belakang Abe.

“Kejayaan LDP adalah kerana pembangkang tidak berupaya membentuk pakatan yang berpadu,” kata pakar politik Mikitaka Masuyama dari National Graduate Institute of Policy Studies kepada AFP.

Tidak dapat dipastikan sama ada Abe mampu mengekalkan “supermajoriti” dua per tiganya.

“Supermajoriti” itu akan membenarkan Abe mencadangkan perubahan kepada Perlembagaan Jepun selepas perang yang menyebabkan negara itu “tewas” dan serta merta menyekat kemampuan ketenteraannya.

Kempen pilihan raya pendek 12 hari itu didominasi dengan isu ekonomi dan global berkaitan Korea Utara, yang mengancam “menenggelamkan” Jepun ke dalam laut.

Abe dengan tegas mengeluarkan pendirian keras, mengatakan yang Jepun “tidak akan tunduk” dalam situasi menekan dan diperlekehkan rejim Pyongyang. – AFP, 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen