CALON Pakatan Harapan di Tanjung Piai Karmaine Sardini bertegas akan menyampaikan khutbah Jumaat di surau yang beliau pengerusikan di Perling, Johor Bahru, walaupun dinasihati pihak berkuasa agama negeri supaya tidak berbuat demikian.
Surau itu terletak di luar kawasan pilihan raya Tanjung Piai yang akan mengundi dalam pilihan raya kecil pada Sabtu ini.
Karmaine mendakwa Jabatan Agama Islam Johor (JAIJ) tidak membenarkan beliau menyampaikan khutbah Jumaat kerana bimbang mimbar akan dijadikan pentas politik.
“Saya ada tauliah yang diberikan oleh pejabat agama. Saya hendak menyampaikan khutbah di masjid sendiri dilarang. Kenapa sampai jadi macam itu?,” soalnya ketika berkempen di Kg. Bakar Arang, Pekan Nanas, hari ini.
The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan komen exco agama Johor Tosrin Jarvanthi dan pihak berkuasa agama negeri.
Karmaine adalah pengerusi dan imam di Surat al-Mutttain di Taman Sutera, Perling.
Jelas Karmaine, selepas tidak dibenar berkhutbah Jumaat kelmarin, beliau merujuk arahan itu pada Tosrin, yang juga pemimpin Bersatu. Karmaine adalah ketua bahagian Bersatu Tanjung Piai.
“Jumaat lepas, pejabat agama melalui penggerak masjid sudah tidak benarkan saya menjadi imam sekarang ini.
“Saya pelik yang perintah kerajaan Pakatan Harapan,” katanya.
Tegas Karmaine, selama menjadi imam dan khatib beliau tidak pernah menggunakan masjid untuk membuat ceramah politik termasuk ketika khutbah Jumaat.
“Ramai takut saya cuba gunakan masjid untuk kepentingan politik.
“Tetapi Jumaat depan ini saya akan balik ke Johor Bahru, saya akan naik mimbar. Saya ada kuasa saya sebagai pengerusi masjid.
“Biarlah masa saya hendak naik itu ditarik orang turun, saya bersedia.
“Ini sebagai satu cabaran untuk saya kerana itu hak saya,” katanya. – 10 November, 2019.
Komen