PUTRAJAYA sedang menimbang pelan pembangunan koridor ekonomi yang baharu untuk wilayah selatan dengan memberi tumpuan kepada pembangunan di pekan-pekan kecil, kata Menteri Hal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.
Cadangan pembangunan itu dijadual dimulakan tahun depan, menganjur dari Bandar Malaysia di selatan Kuala Lumpur hingga ke Johor, katanya.
“Pembentangan awal baru dilakukan semalam dan kementerian saya akan meneliti dan kita akan kemukakan kepada Majlis Tindakan Ekonomi dan perdana menteri. Ini satu pelan pembangunan jangka masa panjang untuk merangsang ekonomi.
“Saya percaya komitmen perdana menteri dan pimpinan hari ini. Ekonomi koridor yang baru di Johor itu akan bermula pada tahun hadapan,” katanya kepada wartawan selepas berkempen dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai di Kampung Bakar Arang, di Pekan Nanas hari ini.
Menurut Azmin, cadangan pembangunan koridor ekonomi yang baharu itu merupakan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan tidak lagi berpusat hanya di bandar besar atau Lembah Klang sahaja.
Melalui cadangan itu, kerajaan akan mewujudkan nukleus baharu untuk membangunkan bandar-bandar kecil antara Lembah Klang dan Johor Bahru.
“Kita tidak mahu pembangunan tertumpu di Lembah Klang atau bandaraya sahaja, tetapi daerah-daerah kecil juga perlu diselamatkan kerana ia dapat memberikan kebaikan kepada penduduk, sama ada dalam bentuk pengangkutan awam seperti rel, pelabuhan, lapangan terbang dan kemudahan-kemudahan yang dapat menjana ekonomi Johor,” katanya.
Tambah Azmin, kawasan Tanjung Piai juga akan menerima manfaat daripada pembangunan tersebut.
“Jumlah pekan-pekan masih dalam pertimbangan dan saya kira Tanjung Piai tidak akan terkecuali untuk dilihat secara menyeluruh,” ujarnya.
Ketika ini terdapat lima koridor wilayah pembangunan ekonomi yang dilancarkan ketika pentadbiran Perdana Menteri kelima, Abdullah Ahmad Badawi.
Lima kawasan itu adalah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Koridor Pembangunan Sabah (SDC) dan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).
Mac lalu, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) Sulaiman Mahbob mahu kerajaan menilai semula pembangunan tersebut kerana hanya dua kawasan iaitu Iskandar Malaysia and NCER yang dilihat mencatat kejayaan. – 10 November, 2019.
Komen