Polis terima 24 laporan berkaitan PRK Tanjung Piai


Polis Johor menjangkakan kempen PRK Tanjung Piai menjadi semakin agresif menjelang hari pengundian pada 16 November nanti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 10 November, 2019.

POLIS Diraja Malaysia (PRDM) menerima 24 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Ketua Polis Johor Mohd Kamarudin Md Din bagaimanapun berkata sehingga kini hanya tiga yang dibuka kertas siasatan.

Beliau berkata antara kes yang dibuka kertas siasatan termasuk kes bendera parti yang dilaporkan dicabut di sekitar Kampung Baru Permas dan kes berkaitan kenyataan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengenai kes basikal lajak, katanya kepada pemberita dalam sidang media sempena Majlis Perhimpunan Bulanan PDRM Johor di Johor Baru, hari ini.

Beliau bagaimanapun berkata, dua kes daripadanya sudah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

Dalam perkembangan sama, Kamarudin berkata pihaknya menjangkakan kempen pilihan raya menjadi semakin agresif menjelang hari pengundian pada 16 November nanti.

“Kita tidak mahu kempen seperti melakukan provokasi antara satu sama lain yang boleh mengancam ketenteraman dan keselamatan awam.

“Kita harapkan proses kempen yang menggunakan kenderaan mendapatkan permit dari pihak polis supaya kerja-kerja pemantauan mudah dilakukan,” katanya lagi.

Beliau dalam pada itu turut berkata PDRM menyediakan 3,050 anggota yang akan bertugas sekiranya berlaku bencana banjir.

Sebanyak 226 anggota dari semua jabatan IPK di negeri terlibat dalam perhimpunan bulanan ini dan sebanyak 82 menerima surat penghargaan sebagai petugas cemerlang. – Bernama, 10 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen