Dr Mahathir silap, kata bekas CEO MAS


Muzliza Mustafa

Peter Bellew (kiri) hari ini menafikan pengunduran beliau daripada pengurusan MAS adalah disebabkan campur tangan Perdana Menteri Najib Razak seperti didakwa Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines (MAS) Peter Bellew hari ini menafikan dakwaan pengunduran beliau daripada syarikat penerbangan negara itu adalah disebabkan campur tangan Perdana Menteri Najib Razak.

“Tun Mahathir silap. 100% silap. Tiada sesiapa yang mempunyai hubungan dengannya (Najib) pernah berhubungan (dengan saya) untuk periksa. Tiada campur tangan. Saya cuma mahu balik kampung,” kata Bellew pada satu sidang media diadakan di Damansara petang ini.

Bellew sebelum ini dalam satu kenyataan yang dikeluarkan kepada media atas kapasiti peribadinya mengatakan tiada campur tangan sesiapa dalam tindakan pengunduran beliau daripada MAS.

Beliau bagaimanapun merasakan perlu untuk mengadakan sidang media itu bagi menjelaskan kenyataan yang dikeluarkan, susulan dakwaan Dr Mahathir sejak 72 jam lepas yang mendakwa pengunduran beliau mempunyai kaitan dengan Najib.

Bekas Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dalam catatan blognya yang terbaru pada Jumaat berkata Bellew meletakkan jawatan kerana campur tangan Najib dalam pengurusan MAS tanpa merujuk kepada lembaga pengarah dan pengurusan syarikat itu.

Bellew mengatakan beliau menghantar surat peletakan jawatan pada 8 Oktober dan alasan MAS tidak mengumumkan pengunduran itu kerana “mereka masih berusaha memujuknya untuk terus kekal”.

“Mereka masih berusaha untuk 10 hari lagi tetapi saya hanya mahu balik kampung,” katanya.

Bellew bagaimanapun enggan menjawab banyak soalan termasuklah syarat kontraknya dan jika beliau perlu membayar pampasan Khazanah Nasional Berhad kerana tidak menyempurnakan kontraknya selaku CEO MAS.

“Ia hal peribadi. Saya tak mahu bercakap tentangnya,” katanya.

Khazanah Nasional Berhad adalah dana pelaburan asing Kerajaan Malaysia dan pemilik tunggal Malaysia Airlines.

Kontrak Bellew sepatutnya tamat pada Jun 2019.

Katanya sidang media itu diadakan berdasarkan kapasiti peribadi dan tidak dipengaruhi pihak berkuasa atau Khazanah.

Bellew dilantik CEO MAS berkuatkuasa pada 1 Julai tahun lepas. Beliau mengambil alih kepimpinan syarikat itu daripada Christoph Mueller yang meninggalkan syarikat penerbangan nasional itu secara rasminya pada 1 September 2016.

Bellew dibawa masuk Mueller sebagai sebahagian daripada pasukan pengurusan MAS pada 1 September 2015 selaku ketua pegawai operasi beberapa bulan sahaja sebelum Mueller menyertai syarikat penerbangan bermasalah itu.

Walaupun Mueller kekal sebagai pengarah urusan dan CEO hanya untuk setahun, beliau memberikan enam bulan notis perletakan jawatan disebabkan “perubahan dalam kehidupan peribadinya”.

Menyentuh mengenai MoU perjanjian bernilai RM42 juta dengan Amerika Syarikat bulan lepas, Bellew berkata ia adalah keputusan MAS untuk membeli pesawat itu.

“Tiada campur tangan politik dalam keputusan MAB membeli Boeing atau Airbus. MAB perlukan pesawat yang lebih besar ruang dan kurang pesawat kecil. Pengerusi dan saya bawa MoU kepada perdana menteri di Washington dan beliau menyaksikan MoU ditandatangani. Semuanya datang daripada MAB,” kata Bellew.

Dr Mahathir dalam catatan blognya Jumaat lalu mengatakan pesawat itu tidak diperlukan MAS untuk pergi ke destinasi tertentu.

“Saya yakin Najib tidak pun tanya MAS. Najib tidak peduli perancangan CEO atau pemilihan MAS. Biarlah MAS lingkup asalkan Najib dapat ambil gambar dengan (Donald) Trump,” tulisnya.

Beliau turut menambah yang Bellew hanya kelihatan bersetuju dengan Najib untuk menunjukkan dakwaan beliau tidak benar.

“Tetapi ini tidak kurangkan perasaan malu dan kecewa kerana Najib tidak sedikit endah CEO MAS ini. Apa nak buat. Kononnya perasaan patriotiknya tiba-tiba menyedar dirinya akan pentingnya ia kembali ke Ireland,” kata Dr Mahathir lagi.

Bellew akan kembali kepada RyanAir pada 1 Disember depan sebagai ketua pegawai operasi bagi menangani masalah kekurangan juruterbang yang menyebabkan syarikat itu terpaksa membatalkan lebih daripada 20,000 penerbangan pada musim sejuk sahaja.

Ryanair Ltd adalah syarikat penerbangan tambah rendah Ireland ditubuhkan pada 1984, berpengkalan di Swords, Dublin, Ireland dengan pengkalan operasi utama di Dublin dan Lapangan Terbang Stansted di London.

Bellew memberitahu media yang beliau masih belum menerima tawaran RyanAir apabila meletakkan jawatan sebagai CEO MAS awal bulan ini.

Jumaat lalu, MAS mengumumkan pelantikan ketua pegawai operasinya sekarang, bekas juruterbang Kapten Izham Ismail sebagai CEO baru menggantikan Bellew.

“Dia orang dalam (membesar bersama MAS), sangat terkenal. Dia orang tempatan. MAS betuah ada dia,” kata Bellew.

Izham mempunyai pengalaman 38 tahun dalam industri penerbangan, memulakan kerjayanya dengan Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979. – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen