Kemenangan BN tak membantu penduduk Tanjung Piai, kata Mukhriz


Mohd Farhan Darwis

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata, kemenangan Pakatan juga akan memastikan kesinambungan legasi yang ditinggalkan bekas ahli Parlimen Tanjung Piai.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 November, 2019.

KEMENANGAN pembangkang akan merugikan pengundi dan penduduk di  Parlimen Tanjung Piai kerana Barisan Nasional (BN) tiada keupayaan untuk melaksanakan sebarang janji, kata Mukhriz Mahathir.

Timbalan presiden Bersatu itu berkata, formula yang mampu memberi kelebihan kepada pengundi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai adalah dengan mengundi calon Pakatan Harapan (PH) Karmainie Sardini kerana beliau merupakan wakil rakyat kerajaan.

Kata Mukhriz, kemenangan Karmainie juga akan memastikan kesinambungan legasi cemerlang bekas ahli Parlimen Tanjung Piai Dr Md Farid Md Rafik dapat diteruskan.

“Apa gunanya ada ahli parlimen pembangkang, mereka boleh janji merata tapi habuk pun tak ada, janji tidak boleh nak tunai.

“Takkan janji macam-macam tapi bila nak buat itu dan ini di Tanjung Piai nak tunggu BN menang…bila nak buat tunggu BN menang? Satu lambat lagi dan kedua dijamin tidak menang,” kata Mukhriz.

Menteri besar Kedah itu berkata demikian di hadapan kira-kira 200 penyokong PH di Kampung Lubuk Sawah, Pekan Nanas, malam tadi.

Mukhriz berkata, pihaknya sedar calon Barisan Nasional (BN) Wee Jeck Seng dikenali dengan rekod cemerlang perkhidmatannya selama dua penggal sejak Pilihan Raya 2004 dan Pilihan Raya 2013 di Parlimen Tanjung Piai.

Namun begitu katanya, ketika itu kerajaan negeri Johor dan kerajaan pusat adalah dari parti sama yang membantu memudahkan semua perkhidmatan yang diberikan Wee kepada penduduk Tanjung Piai.

Keadaan sama juga kata Mukhriz dirasai penduduk Tanjung Piai ketika Dr Md Farid mewakili mereka di Parlimen.

“Setakat ini keseluruhan projek pembangunan yang Allahyarham bawa ke Tanjung Piai berjumlah RM14.7 juta.

“Tiga penggal di bawah Wee, setahun setengah bawah PH, khidmat ahli Parlimen itu dikatakan baik, zaman BN baik, zaman PH pun baik.

“Apa sebab, kerana kedua-duanya mewakili kerajaan yang memerintah ketika itu, kerajaan negeri Johor dan kerajaan persekutuan.

“(Sekarang ini) bukan masanya (pengundi) pilih pembangkang di Tanjung Piai, kekal dengan wakil parti memerintah tidak lain tidak bukan, PH sahaja.

“Itu formula dia, mestilah seorang ahli Parlimen yang mudah berurusan dengan kerajaan negeri dan Pusat,” kata Mukhriz lagi.

Sementara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub yang turut hadir pada ceramah malam tadi berkata, hanya parti kerajaan yang mampu  menunaikan janji ditinggalkan Dr Md Farid.

Sebahagian daripada penduduk yang hadir pada ceramah kempen Pakatan Harapan di Pekan Nenas malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 9 November, 2019.

“Wee betul pernah jadi wakil rakyat tapi yang jeti buruk nak runtuh itu apa dia buat? Tiga penggal dia wakil rakyat, kita yang sambung hari ini, kita yang beri bantuan hari ini.

“Kita yang akan laksanakan semua janji ditinggalkan Dr Farid  bukan Wee Jeck Seng,” kata Salahuddin.

Timbalan presiden Amanah itu juga menyeru ahli-ahli PAS untuk menyedari pimpinan parti Islam itu kini tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

Beliau juga yakin ahli-ahli PAS di Tanjung Piai akan mengundi Karmainie kerana pimpinan PAS tidak konsisten dalam perjuangan mereka.

“Kepada rakan daripada PAS, marilah kita undi PH. Mereka tak boleh terima PAS hari ini, pemimpinnya berpusing-pusing.

“Pejuang PAS tulen tidak boleh terima, saya yakin mereka akan sokong PH kerana mereka ini pejuang rasional,” kata ahli Parlimen Pulai itu lagi.

Turut hadir dalam ceramah kelompok malam tadi adalah Ahli Parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar, Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dan Pengerusi PKR Johor Syed Ibrahim Syed Noh.

Mahfuz berkata, situasi kempen di PRK Tanjung Piai juga agak pelik baginya kerana pimpinan DAP seperti Lim Kit Siang berkempen untuk menyokong Karmainie yang merupakan seorang imam.

Keadaan sebaliknya berlaku kerana pimpinan PAS yang dikenali sebagai tok guru pula berkempen untuk menolak Karmainie.

“Sepatutnya kita lihat bukan politik kaum dan agama, politik pembangkang yang meniupkan sentimen perkauman mesti ditolak.

“Pilihan kita Imam Karmainie, agak pelik apabila (Penasihat DAP) Lim Kit Siang ajak orang pilih tok imam tapi yang tok guru mengajak orang tolak tok imam,” kata Mahfuz, yang dipercayai merujuk kepada Presiden PAS Abdul Hadi Awang.

“Tok guru yang pernah dikenali sebagai ulama dunia ajak orang tolak tok imam, kan pelik.”

Tambahnya, ahli-ahli PAS perlu menyatakan protes mereka dengan kenyaaan-kenyataan pimpinan PAS yang tidak konsisten dengan mengundi Karmainie di Tanjung Piai.

“Tidak ada pilihan kepada kita melainkan pilih tok imam, takkan tok guru PAS nampak kata calon MCA itu tok imam baru?

“Saya bukan nak ambil sentimen perkauman tetapi saya nak tunjuk pemikiran pimpinan politik PAS yang sangat memalukan.

“Ahli PAS kena protes, undi PH dan pilih imam Karmainie kalau tak nak masuk PH pun,” kata Mahfuz. – 9 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen