Bayang & Wayang: Kisah khazanah kita


Daniyal Kadir

MINGGU lalu di Balai Seni Negara berlangsung sebuah acara yang signifikan dengan usaha pemeliharaan khazanah audio visual negara.

Dengan nama Bayang & Wayang penonton pada malam itu disajikan dengan tayangan empat filem dokumentari menarik tentang Malaysia.

Filem pertama berjudul Valley of Hope (1948) yang mengisahkan tentang perjalanan pesakit kusta di sebuah pusat penempatan khas di Sungai Buloh. Filem ini mengungkap kehidupan pesakit kusta di pusat berkenaan, melalui pandangan seorang gadis.

Seperti yang kita ketahui, penyakit kusta sudah lama terhapus dari Malaysia dan pemaparan tragik tentang kusta dalam filem amat berkesan dan kita yang tidak pernah melihat tentangnya, kemudian akan mengetahui bahaya penyakit ini.

Beberapa babak melihatkan keadaan fizikal pesakit yang cukup menggerunkan dan terdapat watak seorang doktor berbangsa Inggeris memberikan penjelasan tentang penyakit ini.

Sudah tentu menonton dokumentari ini merupakan sebuah kenangan yang tidak dapat dilupakan.

Filem kedua ialah Mandi Safar (1962). Ia dirakamkan di Melaka dan memberikan pemaparan mengenai Pesta Safar yang diraikan masyarakat Melayu pada ketika itu. Ritual menarik ini dihentikan pengamalannya di negara kita apabila dikatakan bertentangan dengan ajaran Islam.

Mengambil pendekatan dokufiksyen, kita akan dibawa melihat gelagat dan senario unik ketika berlangsungnya Mandi Safar. Ia memberikan pengertian mengenai keterbukaan masyarakat pada masa itu dan bagaimana ritual ini berkembang sebagai suatu pesta yang dihargai secara keseluruhan.

Agak menarik ketika babak joget lambak dan nyanyian dondang sayang yang berjaya mengungkit dengan baik sisi romantis masyarakat Melayu. Pada masa sama, kita dibiarkan hanyut dengan kelembutan budaya dan kata-kata yang ada.

Pengalaman yang amat menarik melihat sebuah kebudayaan asli dan bagaimana masyarakat Melayu dicorakkan dalam ritual sedemikian rupa.

Filem ketiga, animasi paling berpengaruh negara, Sang Kancil dan Buaya (1987) hasil ciptaan Bapa Animasi Malaysia, Hassan Abd Muthalib.

Menontonnya mengingatkan kepada kenangan semasa kanak-kanak dan bagaimana kelicikan kancil cuba memperdaya buaya.

Sebuah animasi yang meninggalkan kesan mendalam terhadap perjalanan sejarah animasi Malaysia dan ia animasi yang tak pernah hilang daripada ingatan kita semua.

Filem terakhir pada malam itu, sebuah dokumentari yang tebal dengan sifat propaganda, Dugaan Negara (1960). Ia membawa kita mengingat kembali sejarah negara ketika zaman darurat, namun jelas dokumentari ini bersifat menyebelahi British dan dibikin untuk tujuan doktrin kepada rakyat. Namun visualnya memiliki nilai sejarah untuk kita melihat kehidupan pada ketika itu.

Begitulah antara fungsi besar filem dalam kehidupan kita semua. Bukan sekadar memberikan pemikiran, membawa falsafah dan idea atau memberikan hiburan, ia juga sebarang ruang yang memerangkap memori, membawa kita ke dunia yang telah lepas, memberikan kita pemahaman tentang sesuatu peristiwa.

Peranan filem dalam kerangka memori ini jarang mendapat tempat dalam ruang perdebatan tentang filem di negara kita, namun usaha awal yang digerakkan oleh World Heritage Moving Image Centre (WHMIC) pimpinan Azharul Azmir Kamarulzaman dengan kerjasama baik FINAS dan Arkib Negara merupakan sesuatu yang wajar dipuji.

Malah WHMIC sebelum ini menggerakkan program tayangan dan penghargaan dokumentari seperti ini di ruang awam seperti sekolah dan Kawasan perumahan.

Walaupun ia dalam skala kecil, namun dengan semangat dan usaha yang dijangka lebih berganda, usaha WHMIC ini bakal memberi manfaat besar kepada semua pihak.

Satu hal yang paling mengganggu dari sudut pemeliharaan khazanah audio visual negara ini ialah soal akses. Kita sukar untuk menonton dan menghargai khazanah-khazanah ini kerana ia hanya tersimpan rapi di FINAS dan Arkib Negara.

Usaha untuk memberikan peluang kepada orang awam menonton dan melihatnya secara dekat kurang dilaksanakan. Di peringkat FINAS dan Arkib sendiri jarang melaksanakan acara-acara penting dengan skala besar untuk orang ramai hadir dan menikmati sendiri karya dan khazanah ini.

Sudah tiba masanya, kita memikirkan langkah lebih besar dari sudut akses. Sekarang kebanyakan dokumentari dan bahan audio visual bernilai tinggi ini sudah didigitalkan, jadi tidak timbul sebarang masalah untuk ia dibawa ke mana-mana.

Selain melaksanakan acara berbentuk fizikal, pihak yang terlibat dalam menjaga khazanah ini juga boleh mula memikirkan penggunaan saluran lebih mudah seperti YouTube untuk memudahkan proses akses ini.

Kita lihat negara seperti Republik Korea yang mempunyai badan perfileman hebat, memulakan inisiatif memuat naik filem klasik Korea di saluran rasmi YouTube mereka. Ini membolehkan akses menjadi lebih mudah dan meluas.

Sudah tiba masanya FINAS atau Arkib Negara membangunkan saluran YouTube sendiri dan memuat naik koleksi audio visual yang bersesuaian untuk dinikmati masyarakat Malaysia secara lebih menyeluruh.

Sekarang sudah tiada lagi alasan untuk melaksanakan kerja mulia ini, kita tidak mahu melihat segala bahan ini hanya terperap di dalam gedung arkib dengan alasan tidak mahu ia rosak, ia eksklusif atau ia untuk golongan tertentu sahaja.

Berdasarkan pemerhatian, semua koleksi dari Filem Negara tidak mempunyai masalah dari sudut hak cipta jika mahu dimuat naik ke saluran YouTube rasmi, kecuali jika filem cereka yang mana hak ciptanya dipegang oleh syarikat.

Diharapkan dalam masa terdekat saluran YouTube rasmi ini boleh dibuka dan kita akan mula diberikan peluang untuk menikmati ratusan bahan hebat khazanah audio visual negara. – 9 November, 2019.

* Daniyal Kadir ialah penulis buku Membedah P.Ramlee, Ahli Majlis Pengkritik Filem Kuala Lumpur dan Anggota Sidang Komuniti Filem Titiwangsa.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen