Sarawak terus sekat pengacau politik, pelampau agama


Desmond Davidson

SARAWAK akan terus menggunakan kuasa terhadap imigresen bagi memastikan pengacau politik dan pelampau agama tidak memasuki negeri ini.

Ketua Menteri Abang Johari Openg menyatakan dengan jelas beliau akan meneruskan dasar pendahulunya Adenan Satem menggunakan autonomi negeri ke atas imigresen untuk menghalang kemasukan rakyat Malaysia dari Semenanjung yang tidak diingini atau dialu-alukan.

Bercakap kepada media pada hari ke-100 beliau memegang jawatan ketua menteri, beliau berkata khuatir dengan pergolakan agama dan politik yang dilihat di Semenanjung.

“Sudah pasti kami bimbang dengan apa yang berlaku di Semenanjung.

“Kami mempunyai budaya politik dan budaya sendiri untuk dilindungi. Itulah sebabnya apabila saya menjadi ketua menteri, antara perkara pertama yang saya lakukan ialah, saya kata Umno tidak akan masuk ke Sarawak selagi saya menjadi ketua menteri. Kami mahu semuanya baik.

“Sebab itu Jamal (Yunos) – pemimpin bahagian Umno, Ibrahim Ali (pemimpin kumpulan hak Melayu) masih dihalang daripada memasuki negeri ini.”

Abang Johari, yang juga presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata “pelampau dan pengacau” DAP juga turut dihalang memasuki Sarawak.

Beliau juga berkata Sarawak akan berdiri teguh dalam isu agama dan akan terus menentang sebarang percubaan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai RUU355 di Parlimen.

“Saya beritahu Perdana Menteri (Najib Razak) yang semua rakyat (di Malaysia) sama rata di mata undang-undang.

“Ia adalah di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Jika Uggah dan saya (merujuk kepada Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah) melakukan jenayah, mengapa perlu saya perlu dihukum lebih berat berbanding beliau?

“Mengapa orang Melayu perlu menerima hukuman lebih berat? Di mana kesaksamaan di bawah Perkara 8?”

Abang Johari berkata walaupun RUU355 diluluskan, ia menghadapi cabaran undang-undang “kerana ia ultra vires Perlembagaan”. – 22 April, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen