AKTIVIS Rama Ramanathan mendakwa polis menyerbu rumahnya tanpa waran dan merampas telefon bimbit serta komputer riba milik beliau.
Jurucakap Kumpulan Tindakan Masyarakat Mengenai Kehilangan Paksaan (Caged) itu berkata, ketika polis merakam keterangannya di Bukit Aman semalam, mereka tidak memaklumkan kepadanya bahawa mereka akan menyerbu rumahnya pada hari yang sama.
“Mereka serbu rumah saya tanpa waran selang sejam kemudian selepas selesai merekod keterangan.
“Mereka berada di rumah kira-kira sejam sebelum menyita telefon bimbit dan komputer riba,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika ditemui di hadapan IPD Dang Wangi, hari ini.
Menurutnya, proses merakam keterangannya dijalankan pihak polis dengan lancar dan profesional.
Rama disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia berikutan artikel yang ditulis dalam sebuah blog pada 20 Oktober berkenaan aktivis Jufazli Shi Ahmad yang dikatakan oleh beliau nyaris menjadi mangsa ‘kehilangan paksa”.
Beliau menulis mengenai bagaimana polis datang ke rumah kakak Jufazli dan gagal mengemukakan sebarang waran ketika diminta.
Polis kemudian menahan Jufazli dan kakaknya, Nurazimah.
Siasatan masih dijalankan berhubung insiden yang berlaku pada 16 Mac lalu tersebut, sementara mahkamah telah membebaskan Nurazimah daripada tuduhan menghalang tugas polis untuk menahan adiknya. Mahkamah memutuskan bagawa pihak polis “tidak mempunyai kuasa” ketika insiden itu berlaku.
Jufazli dilihat sering mengkritik Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dengan menuduh pengerusi Pakatan Harapan itu melakukan rasuah, salah guna kuasa, di samping berpakat dengan Presiden PAS Abdul Hadi Amang dan bekas ketua menteri Sarawak Abdul Taib Mahmud. – 8 November, 2019.
Komen