Sebelum India, rakyat patut tahu dulu kenapa Zakir Naik tidak diusir pulang


The Malaysian Insight

India meminta alasan rasmi Malaysia menolak permohonan ekstradisi terhadap pendakwah kontroversi Dr Zakir Naik. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2019.

MENTERI Luar Negeri Saifuddin Abdullah malam tadi berkata Malaysia akan menulis secara rasmi kepada India untuk memaklumkan keputusan Malaysia untuk tidak menghantar pendakwah Zakir Naik ke negara asalnya itu.

Surat tersebut sebagai maklum balas kepada permintaan rakan sejawatnya di India untuk hitam putih mengenai isu itu. Permintaan New Delhi itu dapat difahami memandangkan sejak beberapa bulan lalu sesetengah alasan kenapa Putrajaya melindungi Zakir bunyinya daripada meninggi diri sampailah kepada tidak masuk akal.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyuarakan kebimbangan Putrajaya bahawa pendakwah kontroversi itu – yang diberi status pemastautin tetap di sini semasa Najib Razak jadi perdana menteri – tidak akan dibicarakan dengan adil di India. Beliau berdepan beberapa tuduhan terkait jenayah pengubahan wang haram.

Dr Mahathir juga berkata Malaysia serba salah dalam soal menghantar Zakir pulang. Sebabnya, tiada negara yang hendakkan beliau. Kita tentu tertanya-tanya kenapa agaknya.

Mungkin semua negara ini, termasuk negara Islam, juga seperti banyak rakyat Malaysia yang percaya beliau seorang sikapnya memecah belah.

Ya, setakat ini kita sudah dengar perca-perca alasan kenapa Malaysia tidak akan menghantar pulang Zakir ke India. Namun kita tidak pernah diberikan alasan yang rasmi.

India meminta alasan rasmi Malaysia menolak permohonan ekstradisinya atas beberapa sebab. Sebab yang utama ialah untuk mereka memberi reaksi terhadap alasan Malaysia dengan sewajarnya. Reaksi itu boleh jadi sekatan perdagangan atau barangkali mengendurkan hubungan.

Kita katakan bahawa sama seperti New Delhi berhak mengetahui alasan rasmi Zakir terus dilindungi di Malaysia, rakyat Malaysia pun berhak tahu juga.

Beliau didakwa menghina kaum Cina dan India dalam satu ceramah di Kota Bharu. Akibatnya, sebahagian rakyat negara ini tegas mahu beliau diusir.

Sebahagian besar daripada mereka mengundi Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14. Setidak-tidaknya mereka mengharapkan pemimpin yang mereka berikan mandat akan bersikap jujur dan terang dalam isu Zakir.

Sama seperti India, hanya selepas rakyat Malaysia membaca dan meneliti alasan rasmi kenapa Malaysia enggan mengekstradisi Zakir ke India barulah kita boleh menentukan sikap terhadap kerajaan PH.

Jadi bagaimana, Saifuddin?

Apa kata jelaskan kepada rakyat Malaysia secara rasmi kenapa kerajaan tidak akan menghantar Zakir balik ke India?

Tanpa satu penjelasan rasmi, sebahagian rakyat yang lebih berhak ke atas Malaysia berbanding Zakir akan terus rasa terpinggir.

Tanpa satu penjelasan rasmi, desas-desus dan sindir-menyindir akan terus bersebaran sehingga menyebabkan penyokong PH menarik sokongan dalam pilihan raya kecil dan PRU15 – satu perkembangan yang akan menghukum pakatan.

Jadi bagaimana, Saifuddin?

Jelaskanlah kepada rakyat Malaysia kenapa seorang tokoh kontroversi yang dikecam banyak rakyat negara ini tidak diusir pulang ke negara asalnya? – 8 November, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen