Pemimpin parti komponen BN rasa diketepikan pada taklimat PRU14


Muzliza Mustafa

Taklimat lebih kepada majlis Umno, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing. – Gambar The Malaysian Insight, 22 Oktober, 2017.

TUMPUAN yang lebih kepada Umno semasa taklimat jentera bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di ibu pejabat Barisan Nasional (BN) di Kuala Lumpur hari ini melahirkan rasa tidak puas hati  pemimpin-pemimpin parti komponennya, lapor The Borneo Post.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak James Masing memberitahu portal itu, ramai yang tidak berpuas hati kerana taklimat itu lebih kepada majlis Umno, dan bukannya pertemuan pemimpin-pemimpin parti komponen BN.

“Ia taklimat oleh pegawai-pegawai Umno mengenai jentera PRU14… keseluruhan program lebih kepada mengenai Umno.

“Malah tirai di belakang pun hanya memaparkan pemimpin-pemimpin utama Umno, tak ada presiden parti komponen. Seolah-olah yang lain hanya perhiasan dinding… jadi kami tak berapa gembira,” Masing dipetik sebagai berkata.

Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Agung Parti Demokratik Progresif Sarawak Anthony Nogeh dan pemimpin-pemimpin Pesaka Bumiputera Bersatu yang hadir ke taklimat itu enggan mengulas ketika dihubungi. 

Masing merupaka Presiden Parti Rakyat Sarawak. Berkenaan persiapan bagi PRU14, Masing berkata BN Sarawak sudah bersedia.

Semalam, BN mengadakan perbincangan tertutup mengenai persediaan pilihan raya umum dengan semua parti dalam gabungan itu berkumpul di Pusat Dagangan Dunia Putra.

Presiden BN Najib Razak telah berucap pada acara pembukaan. Pihak media tidak dibenarkan untuk membuat liputan acara itu, namun terus berada di sana dengan harapan mendapat sebarang maklumat daripada para pemimpin. – 22 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen