KERAJAAN boleh mengawal kadar tol di lebuh raya milik Plus Expressway Berhad (PLUS) dengan terus mengekalkan penguasaan pegangannya dalam syarikat konsesi itu, kata seorang pakar akademik.
Pensyarah ekonomi di Universiti Nasional Singapura Timothy Wong memberitahu The Malaysian Insight, pegangan kerajaan melalui Khazanah Nasional dan Kementerian Kewangan akan memastikan kadar tol di lebuh raya itu kekal pada tahap munasabah.
“Malah, mandat utama kepada Khazanah adalah untuk beroperasi dalam pasaran seperti ini, di mana lebih baik bagi kerajaan menjadi pengendali monopoli daripada membenarkan sesetengah firma swasta mendapat manfaat daripada kuasa monopoli,” katanya ketika diminta mengulas mengenai pelbagai cadangan yang dikemukakan oleh pemain sektor swasta untuk mengambil alih PLUS.
“PLUS mengendalikan banyak lebuh raya yang secara semulajadinya bersifat monopoli, yang tidak ada banyak alternatif kepada mereka.
“Contoh terbaik ialah Lebuhraya Utara-Selatan. Di kebanyakan bahagian (terutamanya bukan kawasan bandar), tiada alternatif praktikal untuk perjalanan,” katanya.
“Dalam situasi seperti ini, penglibatan kerajaan adalah perlu untuk memastikan mana-mana pengendali swasta tidak menggunakan kuasa pasaran dengan mengenakan harga terlalu tinggi untuk menggunakan lebuh raya.” – 8 November, 2019.
Berita penuh di sini
Komen